Rabu, 19 Ogos 2009

66 kolej berdepan risiko ‘gulung tikar’

Oleh Rosniza Mohd Taha


SERI KEMBANGAN: Kementerian Pengajian Tinggi sedang menjalankan audit terhadap 66 kolej swasta, majoriti milik Bumiputera yang berdepan risiko ‘gulung tikar’ kerana masalah kewangan dan kekurangan pelajar.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata jika hasil audit menunjukkan keadaan kewangan kolej terbabit tenat, ia akan dinasihatkan supaya tidak meneruskan operasi dan mendapat kelulusan memperbaharui lesen.

Bagi mengelak penutupan operasi, beliau berkata, kolej berkenaan boleh bergabung membentuk konsortium supaya dapat mengumpul sumber kewangan dan menjimatkan perbelanjaan.

Namun, katanya, kolej terbabit tidak boleh mengharapkan agensi seperti Mara dan Jabatan Perkhidmatan Awam menaja pelajar mengikuti pengajian di kampus mereka bagi meningkatkan kemasukan kerana pihak terbabit hanya akan memilih institusi pengajian tinggi swasta berwibawa sebagai jaminan kualiti.

“Kini ada 121 kolej swasta Bumiputera dan sebahagian besar sedang menjalani audit kementerian kerana berdepan masalah meneruskan operasi terutama membabitkan kewangan dan enrolmen pelajar.

“Jika hasil audit tidak memuaskan, kolej terbabit akan dinasihatkan tidak meneruskan operasi supaya kita boleh memberi lebih tumpuan terhadap kolej berwibawa bagi membangunkan sektor pengajian tinggi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvokesyen Kolej Teknologi Timur (KTT) kelapan, di sini, semalam.

Seramai 400 graduan KTT menerima sijil dan diploma, termasuk 34 graduan sulung Program Usaha Sama Universiti Teknologi Mara, iaitu Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Grafik dan Media Digital), Diploma Sains dan Pra Diploma Sains.

Tiada ulasan: