Rabu, 12 Ogos 2009

6 maut hidu ammonia

Oleh azian aziz


KUALA SELANGOR - Enam maut dan lima lagi tidak sedarkan diri akibat terhidu gas ammonia dalam kejadian kebocoran gas di sebuah kilang memproses baja ikan di jeti persendirian di Bagan Pasir, Tanjong Karang, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada kerosakan kompresor pada sistem penyejuk di kolah tempat simpanan ikan sehingga menyebabkan berlaku kebocoran gas tersebut.

Dua daripada enam mangsa yang maut merupakan warga Bangladesh iaitu Sekendar Ali, 36, dan Mumin Mia, 20. Empat lagi ialah warga tempatan iaitu Lim Kean Chew, 35, Lim Kim Soon, 58, Sia Liang Huat, 33, dan Gan Ayong, 30.

Lima lagi mangsa yang tidak sedarkan diri ialah tiga warga Bangladesh dikenali sebagai Abdul Rashid, 32; Waduk, 36; dan Samsul Hud, 40.

Dua lagi merupakan warga tempatan iaitu Teh Ah Low, 54, dan Yeon Kok Teng, 43.

Difahamkan, tiga daripada mangsa yang mati tersebut merupakan pekerja kilang dan tiga lagi merupakan penduduk kampung berdekatan.

Salah seorang daripada pekerja yang maut iaitu Kean Chew adalah merupakan adik kepada pemilik kilang tersebut.

Kean Chew dan tiga penduduk kampung dikatakan cuba menyelamatkan dua pekerja warga asing itu yang pengsan di dalam kolah selepas terhidu gas ammonia.

Bagaimanapun sebaik berjaya membawa dua mangsa ke atas mereka berempat turut mengalami nasib serupa. Kesemua mereka disahkan mati di Hospital Tanjong Karang.

Lima lagi mangsa yang terselamat pula dikatakan melihat Kean Chew menyelamatkan dua pekerja Bangladesh di tebing kolah sebelum mereka juga pengsan akibat terhidu gas.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Soiman Jahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.59 pagi dan sebuah jentera bersama lapan anggota tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

Beliau berkata, ketika pihaknya tiba di tempat kejadian, pihaknya menemui dua mangsa yang telah terbaring di lantai kilang berhampiran kolah.

"Kami mengambil tindakan awal dengan menyembur air di tempat kejadian untuk melarutkan gas ammonia itu. Mangsa yang pengsan kemudian dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan lanjut.

"Pasukan Unit Pasukan Menangani Bencana Bahan Kimia (Hazmat) juga dipanggil untuk meneutralkan gas ammonia dengan menggunakan abu soda.

"Pihak hospital kemudian mengesahkan enam mangsa maut dan lima lagi menerima rawatan kerana tidak sedarkan diri," kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Menurut Saimon, siasatan pihaknya mendapati kebocoran gas ammonia itu berlaku di salah sebuah daripada empat kolah sebesar 3 meter x 4.5 meter lebar dan 2.5 meter dalam yang dijadikan tempat menyimpan ikan untuk dibuat baja di kilang tersebut.

Ujar beliau, siasatan juga percaya kebocoran mungkin akibat kerosakan sistem penyejuk di kilang itu yang mempunyai 10 pekerja.

Katanya lagi, ekoran kejadian itu, pihaknya telah mengarahkan kira-kira 15 keluarga yang tinggal kira-kira 100 meter dari tempat kejadian agar mengosongkan rumah masing-masing sebagai langkah pencegahan.

Bagaimanapun tinjauan di tempat kejadian mendapati kerja-kerja pembersihan gas ammonia oleh pasukan bomba selesai dijalankan kira-kira pukul 2 petang.

Bomba juga mengesahkan ini adalah kali pertama kebocoran gas berlaku di kawasan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Hospital Tanjong Karang, Dr. Roniyuzan Abd. Malek berkata, mayat enam mangsa yang maut akan dibedah siasat oleh pakar patologi dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan lima mangsa yang terselamat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Supritendan Zulkifli Jonit pula berkata, kejadian gas ammonia bocor itu diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut (SDR).

Jelasnya, pihaknya juga telah menerima laporan polis daripada pemilik kilang tersebut, Lim Kian Boon, 38, dan sedang menunggu laporan patologi untuk siasatan lanjut.

Tiada ulasan: