Rabu, 5 Ogos 2009

50% isi rumah miliki jalur lebar - PM

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Kerajaan mahu sasaran penembusan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) sebanyak 50 peratus kepada setiap isi rumah di negara ini dicapai sepenuhnya menjelang akhir tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini kerana kajian yang dijalankan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) mendapati pencapaian tersebut akan membantu negara meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 1.2 peratus.

Sehubungan itu, katanya, usaha perlu dilakukan bagi memastikan penembusan HSBB yang ketika ini hanya ditahap 26 peratus dapat dipertingkatkan bagi mencapai sasaran tersebut.

''Pertambahan penembusan HSBB itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahu membawa perubahan atau transformasi kepada ekonomi negara kepada ekonomi berteraskan inovasi dengan tiga ciri utama iaitu kreativiti, budaya inovasi dan bernilai tinggi.

''Transformasi itu penting untuk memastikan Malaysia berada di saf yang sama dengan negara maju lain," katanya ketika merasmikan Inisiatif MSC Malaysia Pahang di Putra Square di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Tan Sri Abdul Halim Ali.

MSC Malaysia Pahang itu hasil inisiatif syarikat Jalur Lebar Nasional (Jalenas) yang dimiliki oleh High Speed Broadband Technology Sdn. Bhd, sebuah syarikat milik bersama Pahang Technology Resouces Sdn. Bhd. (PTRSB) yang dimiliki oleh kerajaan Pahang dan Bumiraya Resources Sdn. Bhd.

Projek tersebut akan menjadikan Kuantan bandar pertama di Malaysia mempunyai perkhidmatan capaian umum 'Fiber-to-the home' (FTTH) jalur lebar berkelajuan tinggi.

Tiada ulasan: