Jumaat, 21 Ogos 2009

5 tan gula habis 24 jam

Oleh SAFINA RAMLI


ALOR SETAR – Krisis gula yang melanda negeri ini dijangka berlarutan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri jika orang ramai meneruskan sikap membeli bekalan gula dalam jumlah yang banyak.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Kedah, Salleh Maamor berkata, bekalan gula sebanyak lima tan yang dihantar semalam ke sebuah pasar raya di sini habis dalam tempoh 24 jam sahaja.

“Bekalan gula tersebut sampai kira-kira pukul 4 petang semalam dan saya lihat pagi ini gula tersebut telah habis dijual.

“Orang ramai buat pembelian panik dan ini yang menyebabkan masalah kekurangan gula ini bertambah teruk,” ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Salleh, pihaknya juga telah berbincang dengan pengeluar gula untuk meningkatkan pengeluaran gula bagi menampung permintaan yang semakin tinggi.

“Kami akan cuba untuk memastikan bekalan gula sentiasa ada sehingga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Memang dalam bulan Ramadan sehingga Hari Raya Aidilfitri, bekalan gula digunakan dengan kadar yang banyak oleh pengguna,” katanya.

Jelasnya, pihaknya juga menempatkan pegawai KPDNKK di pasar raya yang menjual gula untuk memantau jumlah pembelian gula oleh orang ramai.

“Kami tidak mahu ada orang yang ambil kesempatan dengan membeli gula dalam jumlah yang banyak dan kemudian jual semula gula tersebut dengan harga yang mahal.

“Setiap orang hanya dibenarkan membeli dua kilogram gula bagi memastikan semua orang boleh membeli gula untuk keperluan harian mereka,” katanya.

Tiada ulasan: