Sabtu, 1 Ogos 2009

30 minit Norman, Memey buka pintu

Oleh Siti Nurazlinee Azmi


KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam diberitahu tempoh setengah jam diambil pelakon, Norman Hakim dan pasangannya, Memey sebelum pintu bangunan pejabat mereka dibuka penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) boleh menimbulkan syak khalwat.

Saksi pertama pendakwa yang juga Pegawai Penguat Kuasa Jais, Abdul Rahman Lai Abdullah, menganggap jarak antara jam 2 hingga 2.30 pagi sebelum pihaknya memasuki pejabat itu dan menemui Memey di tingkat bawah menjadi sebab pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Lagipun keengganan mereka membuka pintu selama setengah jam walaupun sudah diketuk beberapa kali dan diberikan amaran bahawa pintu akan dipecahkan menjadikan aduan pengadu kukuh bahawa memang ada pasangan berkhalwat dalam bangunan.

“Selain maklumat pengadu, kami turut bersandarkan kepada beberapa bukti lain termasuk kereta milik kedua-dua tertuduh yang diletakkan di tempat letak kereta luar bangunan yang mana jenis kenderaan itu sama seperti diberitahu,” katanya dalam keterangan perbicaraan kes khalwat Norman dan Memey.

Pasangan itu yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam 3 pagi, 30 Oktober 2008, dibicarakan di hadapan Hakim Syarie Salehudin Yatim.

Dalam perbicaraan lalu, Abdul Rahman mengakui tuduhan terhadap Norman atau nama sebenar Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21, tidak betul kerana jika mengikut fakta kes, kedua-duanya ditemui berasingan di premis berlainan dan tidak ditemui serentak pada jam 3 pagi.

Abdul Rahman ketika menjawab soalan Pegawai Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi menjelaskan walaupun mengikut fakta kes, dinyatakan Norman tidak ditemui bersama pasangannya jam 3 pagi seperti dalam pertuduhan, tempoh masa lama diambil untuk masuk ke pejabat itu cukup untuk menimbulkan syak.

Beliau berkata, tidak mustahil sekiranya pasangan itu mengetahui kehadiran penguat kuasa Jais memandangkan sesiapa yang berada dalam bangunan boleh mengintai keadaan di luar.

“Berdasarkan keadaan bising di luar kerana kami mengetuk pintu sambil menjerit supaya orang di dalam membukanya, saya percaya mereka yang berada di dalam tahu apa yang sedang berlaku di luar tetapi tidak mengendahkannya sehingga abang tertuduh lelaki hadir membawa kunci,” katanya.

Perbicaraan bersambung 28 Ogos depan.

Tiada ulasan: