Rabu, 12 Ogos 2009

11 ADUN BN keluar Dewan

UTUSAN ONLINE


PULAU PINANG - Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kecoh hari ini apabila kesemua 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak keluar Dewan kerana membantah dua isu berbeza.

Tindakan keluar dewan yang pertama berlaku pada pukul pukul 10.45 pagi apabila wakil rakyat terlibat tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain yang tidak membenarkan undian dibuat bagi meluluskan satu rang undang-undang.

Kira-kira pukul 12.15 tengah hari pula, sekali lagi mereka bertindak keluar kerana membantah tindakan kerajaan negeri yang terus membahaskan usul pindaan Seksyen 10 dan 15 Akta Kerajaan Tempatan bagi membolehkan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan.

Kejadian pagi ini, ia berlaku ketika Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) mencadangkan kepada Dewan supaya undian dibuat untuk meluluskan Rang Undang-Undang Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang 2009 mengikut Peraturan Mesyuarat 114.

Bagaimanapun ia dibantah oleh RSN Rayer (DAP-Seri Delima) dengan alasan ia perlu mendapat sokongan ahli dewan.

Abdul Halim Hussain kemudiannya membacakan peraturan dan membuat keputusan bahawa undian tidak perlu dilakukan.

Ekoran itu Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan kemudian Rayer bangun serta mencabar ADUN BN keluar dewan jika tidak berpuas hati.

Kesemua ADUN BN itu menyahut cabaran tersebut dan rang undang-undang berkenaan kemudiannya diluluskan dewan.

Rang Undang-undang Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang 2009 yang diluluskan itu bertujuan memberi kuasa kepada perbadanan tersebut mengurus, mengendali, mengawal dan menyenggara perkhidmatan kereta api Bukit Bendera.

Tindakan keluar dewan buat kali kedua dilakukan kerana ADUN BN membantah tindakan kerajaan negeri yang terus membahaskan usul pindaan Seksyen 10 dan 15 Akta Kerajaan Tempatan.

Sementara itu Azhar berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana sudah diperjelaskan dari awal melalui usul yang dibawa oleh Datuk Jahara Hamid (BN-Telok Ayer Tawar) bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk meminda akta itu kerana ia adalah kuasa kerajaan Pusat dan perlu dibahaskan di Parlimen.

Katanya, usul pindaan Jahara itu bagaimanapun telah ditolak sebulat suara oleh ADUN DAP dan PKR yang tetap mahu membahaskan isu berkenaan.

''Saya lihat ini hanya semata-mata mahu menunaikan janji mereka kepada rakyat. Dalam manifesto DAP semasa pilihan raya umum tahun lalu, mereka berjanji mahu mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

''Justeru bawalah isu itu ke Parlimen dan bincang, bukannya mempergunakan dewan ini untuk mengaburi mata rakyat agar mereka boleh cuci tangan dan kemudian mendakwa mereka mahu melaksanakannya tetapi Kerajaan Pusat yang tidak mahu," katanya.

Menurut Azhar, beliau berasa pelik kerana 11 daripada 13 ahli Parlimen di negeri ini tidak pernah membahaskan isu tersebut di Parlimen sebaliknya memilih tempat yang salah iaitu di sidang DUN.

''Kami keluar dewan kerana tidak mahu diperalatkan dan terlibat sama dengan janji-janji DAP semasa pilihan raya umum lalu. Perkara itu urusan mereka bukan urusan kami," katanya.

Dalam pada itu, Jahara membidas kerajaan negeri kerana meletakkan orang politik yang menyokong mereka sebagai Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

''Dulu mereka kritik kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana meletakkan orang politik sebagai Ahli Majlis tetapi sekarang mereka kerajaan yang memerintah dan ada kuasa untuk membuat perubahan,'' menurutnya.

Tiada ulasan: