Sabtu, 29 Ogos 2009

1,000 penduduk Baling dipindah akibat banjir

BERITA HARIAN ONLINE


BALING: Lebih 1,000 penduduk membabitkan 50 keluarga di beberapa kampung di sekitar Mukim Pulai, Kupang dan Bakai di sini, terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat tanpa henti melanda kawasan berkenaan sejak petang kelmarin.

Kebanyakan penduduk terpaksa menumpang di rumah saudara-mara, jiran dan surau yang terletak di kawasan tinggi sejak petang kelmarin selepas hujan lebat lebih 10 jam menyebabkan air naik setinggi satu meter.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan, berkata beliau sudah mengarahkan penduduk yang tinggal di tebing sungai supaya berpindah segera kerana paras air semakin tinggi yang mungkin akan membahayakan penduduk sekitarnya.

“Saya meminta penduduk di kawasan berisiko berpindah segera sekiranya keadaan semakin serius kerana ketika ini air sungai dilaporkan semakin tinggi dan boleh melimpah ke kawasan penempatan penduduk pada bila-bila masa.

"Jangan menunggu sehingga diarahkan, sebaliknya membuat persiapan awal berpindah dan segera menyelamatkan barangan berharga termasuk dokumen penting," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Daerah Baling berkata, bilik gerakan banjir dibuka mulai kelmarin selepas hujan lebat berterusan tanpa henti.

"Sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Mangsa banjir ditempatkan di surau, dewan dan ada antaranya menumpang di rumah jiran," katanya.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Tanjung Merbau, Datuk, Lubuk Pedati, Pekan Kupang, Belakang Pekan Kupang, Kampung Raja, Padang Cina, Landak Hilir, Sadek,Bok Bak, Chenerai, Banggol Lahar, Belakang Panggung, Hangus, Lela,Tanjung, Seberang Titi, Ketemba Kememeh, Banggol Chicar, Pekan Khamis, Kuala Pegang, Ketemba Masjid dan Kampung Badang di Mukim Bakai.

Warga emas, Ghulam Dam Shadat, 64, dari Kampung Chenerai, Kuala Pegang berkata, dia bersama anak dan cucunya terpaksa berpindah ke rumah jiran kerana air naik begitu cepat.

"Ketika kejadian kami sekeluarga berada di rumah dan sedang sibuk menyediakan hidangan berbuka, bagaimanapun hujan lebat sejak jam 2 petang menyebabkan air sungai mengalir de-ras dan kami nekad berpindah sambil membawa juadah berbuka ke rumah jiran.

"Saya terpaksa membawa periuk nasi dan lauk ke rumah jiran dan langsung tidak terfikir untuk menyelamatkan apa-apa barangan kerana bimbang kejadian buruk menimpa keluarga kerana air ketika itu semakin naik," katanya.

Lazim Man, 78, dari Kampung Chenerai, berkata kedudukan rumahnya yang terletak berdekatan tebing Sungai Ketil menyebabkan air naik terlalu pantas.

Penternak ikan keli, Mohamad Isa Ahmad, 44, dari Kampung Ketemba Masjid, berkata beliau mengalami kerugian kira-kira RM15,000 apabila 10 kolam ikannya ditenggelami air menyebabkan lebih 20,000 ikan keli terlepas.

Tiada ulasan: