Ahad, 9 Ogos 2009

1,000 aduan tuntutan rugi demonstrasi ISA diterima

Oleh Mohd Azis Ngah azis


KUALA LUMPUR: Biro Pengaduan Awam (BPA) sudah menerima hampir 1,000 aduan berhubung tuntutan ganti rugi daripada pihak yang terjejas akibat perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di sekitar ibu negara, 1 Ogos lalu.

Jumlah aduan itu dijangka bertambah apabila BPA dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama beberapa persatuan peniaga membuka kaunter aduan khas di depan Kompleks Semua House, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini pagi semalam.

BPA menempatkan tiga pegawainya mengendalikan kaunter itu yang dibuka selama 12 jam bermula 10 pagi, malah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah turut meluangkan masa hampir dua jam mengawasi kaunter berkenaan serta bertemu peniaga Jalan Masjid India.

Peniaga yang ingin menuntut ganti rugi mesti mengemukakan bukti jumlah kerugian seperti rekod pendapatan setiap hujung minggu untuk dibandingkan hasil jualan yang diperoleh mereka ketika demonstrasi Sabtu minggu lalu.

“Ada peniaga mendakwa kerugian RM20,000... BPA akan kumpul semua aduan, membuat taksiran kerugian dan akan bagi nasihat serta mendapatkan khidmat peguam kerana kes ini membabitkan kebajikan serta kesusahan dialami peniaga,” kata Murugiah pada sidang media, di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Peniaga Dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman (PPDPLTAR), Che Kamarudin Ibrahim dan Timbalannya, Roslan Ghani serta Pengerusi Persatuan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan (PPBWP), Rosli Sulaiman.

Murugiah memberi jaminan kepada peniaga di situ, pihaknya akan sedaya upaya membantu mereka mendapatkan pampasan berdasarkan kes sama yang pernah berlaku ke atas penduduk Seoul, Korea Selatan yang berjaya menuntut ganti rugi RM1 bilion daripada penganjur demonstrasi jalanan.

“Aduan juga boleh dibuat di pejabat BPA di Wisma TH Perdana, di sini sehingga 14 Ogos ini. Jika semua bersepakat, akan memudahkan urusan menuntut ganti rugi. Ini termasuk juga pusat beli-belah dan premis perniagaan besar, syarikat pengangkutan awam, LRT, bas dan teksi yang turut terjejas teruk,” katanya.

Sementara itu, Che Kamarudin berkata, semua 2,500 ahli PPDPLTAR akan membuat aduan rasmi secara berperingkat dan percaya ramai lagi peniaga dan penjaja bakal mengambil tindakan sama jika mengambil kira lebih 3,500 ahli pelbagai persatuan peniaga yang beroperasi di sekitar lokasi perhimpunan haram itu.

Tiada ulasan: