Jumaat, 24 Julai 2009

Ziana Zain dikurniakan bayi kembar

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Selepas 12 jam dimasukkan ke hospital swasta di Shah Alam, penyanyi dan pelakon terkenal, Ziana Zain selamat melahirkan sepasang bayi kembar pagi ini.

Bayi lelaki seberat 2.1 kilogram dan bayi perempuan 1.7 kilogram itu selamat dilahirkan kira-kira pukul 10 pagi menerusi kaedah pembedahan.

Pengurusnya, Lisa Aryanti Tahir berkata, penyanyi berusia 40 tahun itu dan bayi kembarnya kini berada dalam keadaan stabil dan selamat.

Menurutnya, penyanyi itu dimasukkan ke hospital berkenaan pada pukul 10 malam tadi selepas mengadu sakit di bahagian perut.

Pada masa ini, Ziana masih menerima rawatan di hospital dan ditemani suaminya, Armin Zaharin serta ahli keluarga mereka.

"Dia sepatutnya dijadual bersalin bulan depan, tetapi tanpa dijangka, bayi kembarnya bersalin sedikit awal.

"Alhamdulillah, keadaan Ziana dan bayi-bayinya sihat," kata Lisa ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ziana Zain dan Armin yang diijabkabulkan pada 9 Mei 1998 sebelum ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 9, serta Muhammad Ammar, 6.

Ujar Lisa, selepas bersalin, sama seperti kebiasaan, Ziana akan berpantang selama 100 hari di rumahnya di Shah Alam.

"Buat masa ini, penyanyi itu belum bersedia menerima kunjungan pihak media untuk merakamkan gambarnya ketika di hospital kerana masih lemah," jelasnya.

Lisa bagaimanapun memaklumkan, gambar Ziana bersama bayi kembarnya akan diedarkan kepada pihak media untuk tatapan peminat sebaik saja tempoh penyanyi itu berpantang selesai.

Tiada ulasan: