Ahad, 26 Julai 2009

Yasmin Ahmad meninggal dunia

UTUSAN ONLINE


PETALING JAYA - Pengarah filem terkenal, Yasmin Ahmad meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara (HPD) di sini hari ini akibat pendarahan dalam otak berpunca daripada penyakit strok.

Allahyarham Yasmin, 51, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.25 malam selepas dimasukkan ke HPD sejak kelmarin.

Yasmin koma selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala akibat serangan strok tersebut.

Menurut sahabat karib Allahyarham, Fatimah Abu Bakar, Yasmin menghembuskan nafas terakhir di sisi suami beliau, Tan Yew Leong serta adik-beradiknya.

Turut berada di sisi Allahyarham ialah Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood yang juga kawan baik Yasmin.

Jenazah Allahyarham Yasmin akan dikebumikan sebelum solat Zohor di tanah perkuburan yang akan ditentukan kemudian.

"Jenazah Allahyarham juga akan dibawa ke Masjid SS19 Subang Jaya untuk disembahyangkan serta memberi peluang kepada rakan-rakan yang mengenali Allahyarham untuk memberi penghormatan terakhir," kata Fatimah yang mewakili keluarga Allahyarham Yasmin kepada wartawan pada sidang akhbar di HPD lewat malam ini.

Khamis lalu, Allahyarham Yasmin dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Pakar Damansara selepas pengsan ketika membentangkan kertas kerja di TV3, Bandar Utama di sini.

Pengarah filem prolifik itu tidak sedar diri sejak itu.

Tiada ulasan: