Jumaat, 3 Julai 2009

Wacana cuba tarik Khairy berdebat

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Sabky Yusof, menegaskan jemputan Wacana Ilmiah Terbuka kepada Pemuda Umno bertujuan untuk menarik perhatian Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, menyertai debat bagi membuktikan mengapa perjuangan Umno perlu ditolak rakyat.

“Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan, tidak memilih menggunakan perkataan debat kerana sebelum ini Khairy gagal dan tidak mampu untuk menyahut cabaran debat yang dikemukakan oleh beliau sebelum ini.

“Untuk rekod sudah tiga kali Nasruddin mencabar Khairy berdebat dan semuanya tidak terjawab. Bagi memungkinkan Khairy berhujah, beliau menawarkan pentas berhujah atas nama wacana ilmu, tetapi semangatnya tetap semangat debat,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kelmarin, Dewan Pemuda Pas secara terbuka menjemput Pemuda Umno mengadakan perbincangan ilmiah atau dialog berhubung isu semasa bagi menyelesaikan krisis antara kedua-dua parti itu.

Pelawaan itu mendapat reaksi positif Pemuda Umno dengan menyambut baik cadangan itu dan menyifatkannya sebagai perkembangan baru yang dapat membuka peluang bagi kedua-dua parti membuat sesuatu yang baik demi kepentingan bangsa dan negara.

Ahmad Sabky berkata, jemputan Wacana Ilmiah bertajuk ‘Benarkah Perjuangan Umno Tidak Bertentangan Dengan Islam’ tercetus selepas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mencabar Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berdebat mengenai perjuangan Umno.

“Dewan Pemuda Pas ingin menegaskan kita menawarkan pentas berhujah ini secara terbuka bukan secara tertutup,” katanya.

Tiada ulasan: