Rabu, 15 Julai 2009

Undian gantung Khir Toyo, 4 ADUN BN lain .

BERNAMA


SHAH ALAM : Usul mencadangkan untuk menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibentangkan pada persidangan DUN hari ini.

Undian bagi penggantungan itu dijangka diadakan esok berikutan pembentangan usul itu oleh ADUN Kampung Tunku, Lau Weng Sang tidak sempat dihabiskan hari ini selepas sidang DUN tamat pada 4.30 petang dan akan disambung esok.

Pada 19 Mei lepas, mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) negeri mencadangkan Dr. Mohamad Khir digantung daripada menghadiri sidang DUN dan elaun sebagai ADUN selama setahun selepas didapati bersalah menghina Dewan kerana gagal hadir pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Keteluasan (SELCAT) pada Mac lepas.

SELCAT ditubuhkan dengan bidang kuasa DUN bagi membolehkan pendengaran awam dilakukan berhubung pengunaan wang penajaan mengenai Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (BALKIs).

JKHK turut mencadangkan empat ADUN iaitu Datuk Marsum Paing (BN-Dengkil), Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (BN-Hulu Bernam), Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) dan Datuk Warno Dogol (BN-Sabak) digantung daripada menghadiri sidang DUN dan kemudahan elaun mereka digantung selama enam bulan bagi kesalahan menghina Dewan.

Sementara itu, Dr. Mohamad Khir berkata, beliau akan menimbangkan tindakan undang-undang terhadap Speaker Dun Teng Chang Khim dan JKHK sekiranya beliau dan empat lagi rakannya digantung daripada menghadiri sidang DUN.

Sebarang tindakan undang-undang akan diputuskan berdasarkan apa yang berlaku esok, kata ADUN Sungai Panjang itu dan menurutnya keputusan yang bakal dibuat itu dikhuatiri tidak adil kerana SELCAT dan JKHK dipengerusikan oleh Speaker.

Bercakap kepada pemberita selepas sidang Dewan ditangguhkan untuk hari ini, beliau memberikan contoh dalam kes penggantungan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak mengambil bahagian dalam jawatankuasa yang menyiasat kes itu tetapi dalam kes di Selangor, Teng terlibat di dalam jawatankuasa penyiasat.

Dr. Mohamad Khir berkata, beliau akan hadir ke sidang Dewan esok bagi menghadapi segala kemungkinan dan tidak akan melarikan diri walaupun beliau telah merasakan yang beliau akan digantung.

Katanya, beliau tidak dapat hadir semasa isu laporan SELCAT dan JKHK itu dibahaskan di Dewan petang ini kerana beliau berada di hospital berikutan seorang daripada anaknya menjalani pembedahan.

"Saya akan datang... tadi saya tak datang kerana anak saya di hospital kerana operation (pembedahan)," katanya.

Dr. Mohamad Khir sekali lagi menegaskan tidak ada pembaziran wang anak syarikat kerajaan negeri di dalam lawatan BALKIS ke luar negara yang disertai beliau, isteri, anak-anak serta pembantu rumahnya seperti didakwa oleh sesetengah pihak.

"SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dah datang kepada saya. Saya dah tunjukkan kepada mereka semua perbelanjaan anak-anak saya di luar negara dibiayai oleh saya sendiri... SELCAT tak panggil syarikat yang menguruskan perbelanjaan itu," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: