Sabtu, 4 Julai 2009

Umpan janji jadi strategi akhir Umno di Manek Urai

Zuharman MN


KUALA KRAI - Setiap kali menjelang pilihan raya pastinya rakyat diumpan dengan pelbagai janji. Janjilah senjata akhir yang ditabur bagi menarik simpati orang ramai.

Begitu juga di Manek Urai sekarang janji yang manis di bibir diulang tayang lagi. Niat di hati untuk menarik pengundi. Penduduk Manek Urai dapat mendengar sendiri pelbagai janji yang disogok kepada mereka.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, janji merupakan budaya tidak berkesudahan kerana sudah lama berakar umbi dalam Umno sejak dahulu sehingga sekarang setiap kali menjelang pilihan raya.

"Umno boleh berjanji apa sahaja sebab itu sudah menjadi trend mereka, tapi kita yakin khususnya pengundi-pengundi Manek Urai sudah masak dengan keadaan ini. Rakyat boleh melihat dengan mata kepalanya sendiri.Image

"Sedangkan pada 2004 Umno menang di Dun ini tapi tiada apa pun perubahan dilakukan selama empat tahun. Sedangkan banyak janji ditabur menjelang pilihan raya ketika itu," katanya pada majlis penyampaian anak pokok depu kepada penduduk di Dun Manek Urai bertempat di perkarangan Masjid RPT Peria Baru, semalam.

Biar pun dalam keadaan hujan lebat, namun ramai penduduk tempatan hadir. Sebahagian mereka menerima sumbangan anak pokok depu yang disampaikan Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang.

Abdul Latif juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji manis Umno kononnya mahu menjadikan Manek Urai sebagai 'anak emas' sekiranya Barisan Nasional berjaya menguasai Dun tersebut 14 Julai ini.

"Buktinya sebelum pilihan raya umum 2008 kerajaan BN melancarkan koridor Pantai Timur sekarang apa dah jadi. Pemimpin Umno juga menjanjikan mahu menaikkan taraf jalan yang menghubungkan Kuala Krai - Kota Bharu.

"Sekarang janji serupa diulang tayang kembali biar pun bayang pun tidak ada. Tiba-tiba pada pilihan raya kali ini mereka berjanji pula dengan pelbagai umpan pembangunan di Manek Urai.

"Mereka ingat rakyat di sini mudah dipujuk dengan gula-gula politik," ujarnya. - mj

Tiada ulasan: