Sabtu, 25 Julai 2009

UMNO Kelantan gerak jentera parti

BERNAMA


JELI: Umno Kelantan kini mulai menggerakkan jentera parti dalam usaha menawan kembali Kelantan daripada PAS dengan menjadikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai baru-baru ini sebagai momentumnya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata Umno Kelantan juga memperkemaskan pengurusan parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 kelak.

"Pilihan raya kecil Manik Urai barubaru ini membuktikan rakyat sebenarnya tidak menolak Barisan Nasional (BN). Untuk itu, mulai sekarang kita akan atur strategi untuk menembusi Kelantan daripada kekangan PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Jeli di Kompleks Umno Bahagian, di sini, hari ini.

"Ia memberi petanda baik kepada kita... termasuk dalam usaha menawan kembali Kelantan yang telah dikuasai PAS hampir 20 tahun lalu," katanya.

Keputusan pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai lepas menyaksikan calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah mendapat 5,348 undi, menang tipis 65 undi menewaskan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat yang memperoleh 5,283 undi.

Tiada ulasan: