Khamis, 23 Julai 2009

UiTM Seri Iskandar tutup seminggu

UTUSAN ONLINE


IPOH - Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar dekat sini ditutup selama seminggu selepas 280 pelajarnya disyaki menghidap penyakit selesema babi atau influenza A, H1N1.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kampus berkenaan yang menempatkan seramai kira-kira 10,000 pelajar dan kakitangan wajar ditutup bagi mengelakkan virus berkenaan terus merebak.

''Pada mulanya, seramai 55 pelajar disyaki menghidap penyakit tersebut pada semalam tetapi kes itu telah meningkat dengan mendadak kepada 280 orang pada hari ini.

''Jadi kita tidak pilihan selain daripada menutup keseluruhan kampus tersebut dan semua yang terlibat dengan penyakit itu dikehendaki menjalani kuarantin di rumah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hang Soon berkata, pihak Jabatan Kesihatan negeri telah mengambil sepuluh contoh daripada 280 pelajar terbabit dan keputusan mengenainya akan diketahui dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, kampus tersebut hanya akan dibuka semula pada 31 Julai selepas pihak Jabatan Kesihatan melakukan kerja-kerja pembersihan dan mencegah penyakit tersebut.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan juga sedang membuat siasatan lanjut kerana kes berkenaan dikatakan mempunyai kaitan dengan Kampus UiTM Lendu, Melaka dan Kampus UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang.

''Punca mengenai kes disyaki selesema babi itu masih disiasat dan kita akan tahu apa kaitan ketiga-tiga kampus UiTM tersebut menghadapi masalah yang sama.

''Walaupun kes ini didapati meningkat secara mendadak tetapi ia masih ditahap terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang, langkah yang kita ambil ini adalah untuk memastikan selesema babi tidak merebak," ujar beliau.

Dalam pada itu, Hang Soon berkata, penduduk di sekitar UiTM Seri Iskandar dinasihatkan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti tidak pergi ke kawasan yang sesak dengan orang ramai serta menjaga kebersihan diri.

''Kalau ada yang terkena demam, batuk dan sesak nafas yang kuat mereka mesti segera mendapatkan rawatan segera di hospital berhampiran," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pelajar dan kakitangan universiti mula meninggalkan Kampus UiTM Seri Iskandar kira-kira pukul 3 petang.

Pada masa sama, pihak Jabatan Kesihatan juga dilihat mengedarkan topeng muka kepada pelajar dan kakitangan universiti tersebut bagi membendung penularan selesema babi.

Tiada ulasan: