Jumaat, 10 Julai 2009

Ucapan ketua pembangkang tidak ikhlas

Muhammad Arif Ismail


SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Dato' Seri Mohamad Khir Toyo dalam Dewan Negeri disifatkan tidak ikhlas dalam membuat kritikan kepada gaya pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Demikian penegasan yang dibuat oleh Ahli Dewan Negeri Selangor (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz ketika ditemui bagi mengulas ucapan yang dilakukan oleh ketua pembangkang itu.

Katanya, sebenarnya Khir Toyo mempunyai niat yang tidak betul dan tidak ikhlas, seolah-olah mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa dia orang dalam politik dan perpengalaman dalam politik negeri Selangor.

Adun itu juga mempersoalkan kenapa baru sekarang Khir Toyo mahu mempersoalkan dasar yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat negeri Selangor yang mahu memberi kesejahteraan dan kebaikkan kepada rakyat.

Menurut beliau, Pakatan Rakyat adalah gabungan parti yang terbuka kepada sebarang pendapat dan kritikan dari semua pihak.

"Apa yang diucapakan oleh ketua pembangkang ada sedikit kebenaranya dari segi pengalamannya yang sudah lama menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri.

"Tetapi kita juga tidak boleh menerima seratus peratus apa yang diucapkan dalam perbahasan rang undang-undang perbekalan tambahan kerajaan Selangor tadi," tegas beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa perbandingan tidak boleh dibuat di antara orang lama yang sudah memerintah negeri ini dengan orang yang masih baru.

"Ucapan ketua pembangkang itu perlu dilihat dari banyak sudut seperti dia mengulas mengenai peranan ahli majlis dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kemungkinan ada betulnya.

"Cuma dari segi ini kita boleh ubah balik dari segi struktur supaya Adun ada peranan di PBT. Kemungkinan meletak Adun sebagai penasihat atau pun sebelum sesuatu benda di buat, perlu pengesahan daripada Adun," katanya. - azm _

Tiada ulasan: