Rabu, 15 Julai 2009

Tubuh Jacko penuh ubat, dadah'

Agensi


LOS ANGELES: Laporan keracunan Raja Pop, Michael Jackson yang dibocorkan mendakwa, tubuh penyanyi itu mengandungi ubat penahan sakit yang kuat serta dadah yang terlalu banyak dan boleh membawa maut.

Akhbar The Sun yang memetik laporan awal keracunan itu menyatakan, Jackson mengambil pelbagai jenis ubat yang cukup kuat untuk membunuh orang biasa serta-merta, tetapi tubuh beliau mampu menerimanya kerana beliau sudah lama mengambil ubat pada dos tinggi.

"Laporan diserah kepada pejabat koroner Los Angeles itu juga menyatakan, selain paras tinggi kandungan Demerol, ubat penahan sakit yang kuat dan metadon digunakan untuk menggantikan heroin, ujian darah Michael menunjukkan paras tinggi ubat antigelisah, Xanax," kata akhbar itu.

Paras rendah ubat pelali Propofol turut dikesan. Ubat itu biasanya digunakan untuk pembedahan, tetapi menurut rakan dan pembantu rapat Jackson, Raja Pop itu yang menghidap insomnia, menggunakannya sebagai ubat tidur.

Satu lagi ubat dikenali Dilaudid yang digunakan untuk menahan sakit selepas pembedahan, turut ditemui dalam tubuhnya.

Pejabat koroner belum lagi mengeluarkan kenyataan laporan keracunan itu, tetapi akhbar itu mendakwa mendapat maklumat mengenainya berkata, selain Demerol dan Metadon, penyanyi berusia 50 tahun itu turut mengambil empat jenis lagi pil pelali, termasuk penahan sakit dan antigelisah.

"Laporan itu pasti meningkatkan lagi tekanan kepada polis untuk menjelaskan bagaimana seorang lelaki boleh mengambil begitu banyak ubat dan doktor mana bertanggungjawab.

"Spekulasi bertiup kencang mengenai tuduhan membunuh boleh dikenakan jika bukti dikemukakan bahawa penyanyi itu diberi ubat tanpa menimbangkan keselamatannya" kata akhbar itu yang memetik sumber rapat kes.

Sementara itu, Ketua Polis, William Bratton, berkata beliau menunggu laporan terakhir keracunan itu bagi meneruskan siasatan.

Tiada ulasan: