Khamis, 23 Julai 2009

Tolong sebat saya segera - Kartika



Kartika Sari Dewi bersama anaknya berusia 5 tahun dan bapanya, Shukarnor Abdul Mutalib ketika mengadakan sidang akhbar di Yayasan Perak, Ipoh, semalam.

UTUSAN ONLINE


IPOH - Biasanya, pesalah yang dijatuhkan hukuman akan merayu untuk dikurangkan hukuman.

Bagaimanapun, lain pula dengan model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang mahu hukuman sebat terhadapnya dilaksanakan segera.

Wanita yang berasal dari Sungai Siput dan berkahwin dengan seorang rakyat Singapura itu dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Isnin lalu selepas mengaku salah meminum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2007.

Kartika pada sidang akhbar di Yayasan Perak di sini hari ini berkata, dia mahu hukuman sebat yang diputuskan mahkamah segera dilaksanakan kerana ingin memulakan hidup baru.

Ibu kepada dua anak berusia lima dan tujuh tahun itu mengaku menyesal dengan perbuatan yang dilakukannya dan berharap hukuman tersebut menjadi pengajaran kepada orang lain.

''Saya menyesal dengan perbuatan yang saya lakukan. Saya telah menjatuhkan maruah keluarga. Sebab itulah saya mahu hukuman sebat dijalankan segera kerana mahu lupakan apa yang berlaku dan menjalani kehidupan baru bersama keluarga.

''Saya harap dengan hukuman ini, orang lain akan membuka mata dan tidak melakukan kesalahan yang serupa. Ini bukan sesuatu yang dibanggakan," katanya.

Sementara itu, bapa Kartika, Shukarnor Abdul Mutalib, 60, yang menemaninya pada sidang akhbar itu berkata, dia reda dengan keputusan anaknya dan sentiasa memberikan sokongan.

''Saya harap hukuman ini akan menjadi pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama," katanya.

Menurut Shukarnor, selepas anaknya selesai menjalani hukuman, mereka akan menghantar Kartika ke Mekah untuk menunaikan umrah.

Tiada ulasan: