Ahad, 5 Julai 2009

Tol: Protes terbaru penduduk BMC

Rahmah Ghazali


Selepas hampir setahun, penduduk Bandar Mahkota Cheras (BMC) hari ini sekali lagi berdemonstrasi membantah jalan tol ke kawasan perumahan mereka.

Kira-kira 50 penduduk berhimpun sekitar jam 9.30 pagi untuk mendesak kerajaan membuang tol yang menjadi isu selama ini.

Mereka mendakwa, operato tol Grand Saga Sdn Bhd telah mengaut keuntungan yang mencukupi dari kutipan tol dan sepatut memulangkan jalan tersebut untuk digunakan secara percuma oleh penduduk di situ.

Protes Mei tahun lalu mencetuskan insiden buruk ketika polis meleraikan perhimpunan penduduk terbabit. Beberapa orang tercedera termasuk wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku pagi ini. Mereka mematuhi arahan polis supaya bersurai.

Mereka yang menyertai perhimpunan hari ini termasuk ahli parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai, bersurai selepas berdemonstrasi selama kira-kira 15 minit. Mereka kemudiannya menuju ke pusat perkhidmatan DAP dekat situ.

Penduduk BMC membantah kutipan tol di situ sejak beberapa tahun lalu.

Protes tahun lalu diadakan kerana membantah penutupan jalan akses ke situ oleh Grand Saga.

Ia ditutup oleh Grand Saga atas arahan Lembaga Lebuh Raya (MHA) ekoran pertikaian perundangan antara Grand Saga dengan pemanju Bandar Mahkota Cheras, Narajaya Sdn Bhd.

Keadaan menjadi buruk apabila penduduk bertindak meruntuhkan halangan yang diletak oleh Grand Saga untuk menutup jalan akses tersebut.

Dan penduduk di situ bertindak meruntuhkan halangan ersebut setiap kali ia dipasang semula oleh pihak Grand Saga.

Pada 30 Mei, kabinet mengarahkan supaya jalan akses tersebut dibuka sehingga pihak mahkamah membuat keputusan mengenainya.

Tiada ulasan: