Sabtu, 11 Julai 2009

Tindakan Dr Khir satu penghinaan

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim, menolak satu surat dipercayai writ saman yang diserahkan oleh seorang kerani peguam kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, semalam

Menurut beliau, surat saman itu mahu diserahkan kepadanya kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, di pekarangan Dewan Negeri Selangor.

“Saya dinasihatkan oleh peguam saya untuk tidak menerima surat berkenaan kerana pekarangan dewan didapati sebagai kawasan yang kurang sesuai untuk ADUN Sungai Panjang itu menyerahkan surat saman kepada saya.

“Saya bukannya takut untuk menerima surat berkenaan tetapi ia perlulah diserahkan mengikut proses undang-undang,” katanya.

Difahamkan, Suee Lim melantik Ahli Dewan Negeri Kota Alam Shah, M Manoharan sebagai peguam beliau bagi menghadapi sebarang tindakan undang-undang yang mungkin dikenakan Dr Khir ke atas beliau.

Menurut Manoharan, sekiranya Mohamad Khir benar-benar ingin menyerahkan surat berkenaan, ia boleh dilakukan di tempat lain tetapi bukannya di perkarangan dewan.

“Saya menasihati rakan saya, Ng Suee Lim, untuk tidak menerima surat berkenaan kerana berpendapat bahawa perkarangan dewan adalah tempat yang tidak sesuai, selain dilihat mempunyai percubaan untuk mengugut.

“Seharusnya peguam yang menghantar surat saman itu tahu proses yang sesuai sebelum menyerahkan apa-apa barang,” katanya.

Manoharan berkata, ini adalah satu penghinaan yang paling teruk kepada Suee Lim oleh Dr Khir dan beliau menasihati Suee Lim agar membangkitkan perkara ini di dalam dewan, sekiranya Speaker, Teng Chang Khim membenarkannya.

“Saya ingin menegaskan bahawa Suee Lim tidak takut di atas apa-apa tindakan mahkamah. Beliau sedia menghadapinya tetapi melalui proses yang betul,” katanya.

Tiada ulasan: