Rabu, 8 Julai 2009

Tiga sekeluarga maut kereta tembung treler

BERITA HARIAN ONLINE


GRIK: Tiga sekeluarga maut, manakala dua lagi parah apabila kereta mereka naiki bertembung dengan sebuah treler yang membawa muatan beras di Kilometer 17, Jalan Grik-Kupang, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa terbunuh ialah pemandu kereta, Mohamad Mahmud, 46; anaknya, Norliana, 3, serta ibu Mohamad, Sufiah Ismail, 68.

Seorang lagi anak Mohamad, Norizianti, 9, dan isterinya, Dzu Mat Rajab, 39, cedera parah dalam kemalangan yang berlaku dalam keadaan jalan licin akibat hujan.

Ketua Polis Grik, Superintendan Mahad Noor Abdullah, berkata semua mangsa ditemui tersepit di dalam kereta dan lapan anggota Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mereka.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta Ford Laser dinaiki mereka cuba memotong sebuah kenderaan di depannya sebelum bertembung dengan treler dari arah bertentangan.

“Perlanggaran itu menyebabkan kereta mangsa terperosok di bawah treler sebelum kedua-dua kenderaan terhumban ke dalam longkang, Pemandu treler tidak cedera," katanya di sini, semalam.

Mahad Noor berkata, semua mangsa yang berasal dari Kota Kuala Muda, Kedah, dipercayai dalam perjalanan ke Kelantan manakala treler ke arah Kupang, Kedah.

Tiada ulasan: