Rabu, 22 Julai 2009

Tidak politikkan kematian Teoh, tegakkan kebenaran - Badrul Hisham

Mohd Sabri Said


BUKIT MERTAJAM- Pakatan Rakyat tidak pernah mempolitikan isu kematian Setiausaha Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock sebaliknya mencari kebenaran untuk mengenal punca kematianya yang penuh dengan misteri kata, Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Badrul Hisyam Shahrin.

Beliau ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin bahawa pembangkang sengaja mempolitikan isu Teoh Beng Hock untuk menambah pengaruh kembali selepas pengaruh pembangkang merosot dalam pilihanraya kecil di Manik Urai, Kelantan.

Kata Badrul ini bukan peritiwa pertama menyebabkan kematian ketika soal siasat sama ada dalam tahanan polis atau sebagainya malahan sudah ramai menjadi mangsa yang sehingga kini menjadi tanda tanya.

"Pakatan Rakyat tidak langsung mempolitikan isu kematian Teoh sebaliknya mendesak Kerajaan tubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk memastikan punca kematianya.

"Kami tidak menyalahkan kerajaan jika sekiranya keputusan tidak menyebelahi kami kerana yang penting ialah buat kerja, " katanya selepas ditemui di majlis makan malam anjuran Angkatan Muda KEADILAN, Bahagian Permatang Pauh di Yayasan Aman, Penanti baru-baru ini.

Menurutnya, tidak mustahil tindakan seumpama itu digerakan oleh jentera yang ingin merampas Kerajaan Negeri Selangor dalam masa terdekat kerana di Perak, BN menggunakan taktik menculik dan menggugut seolah negara ini berada di luar sistem demokrasi.

Kerakusan untuk mengambil kembali Negeri Selangor yang dianggap mutiara yang berkelipan mula diatur selepas berjaya melaksanakan kerja jahat di Perak, katanya

"Walaupun agak sukar untuk BN menjatuhkan Kerajaan Selangor tetapi tidak mustahil mereka gunakan berbagai cara lain untuk melunaskan kerja jahat mereka, " tegasnya.

Bagi menjernihkan keadaan beliau menyokong kenyataan Naib Presiden PAS, Haji Mahfuz Omar agar Ketua Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pengarah SPRM Selangor dan pegawai SPRM yang bertugas sepanjang siasatan digantung tugas mereka sehingga siasatan selesai.

Selagi SPRM tidak berbuat demikian katanya integriti SPRM terus menjadi pertikaian masyarakat sekaligus meruntuhkan matlamat mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk meningkatkan emej SPRM tidak kesampaian. - azm _

Tiada ulasan: