Ahad, 12 Julai 2009

Telefon bimbit hanya RM78

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Rakyat perlu mengubah mentaliti ketika berbelanja dengan lebih mengutamakan barangan yang berkualiti buatan tempatan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perbelanjaan besar untuk mendapatkan barangan yang berjenama ada kalanya bukan sahaja tidak berbaloi malah suatu pembaziran.

"Ia seakan-akan satu budaya iaitu sanggup berbelanja besar hanya kerana dari mana barangan itu dibuat, bukan kerana kualitinya.

"Semua itu perlu diubah. Kerajaan mahu rakyat mencintai dan yakin terhadap produk tempatan kerana ia terbukti berkualiti sehingga menembusi pasaran luar negara yang menetapkan piawaian tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan telefon bimbit termurah di dunia CSL i-100 keluaran CSL Group of Companies (CSL Group) di Pasar raya Besar Tesco, Ampang di sini hari ini.

CSL i-100 adalah singkatan kepada 'Istimewa 100 hari' yang ditujukan kepada 100 hari kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. Ia dijual hanya pada harga RM78.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, pihaknya sedang berusaha mengatur pertemuan antara wakil pasar-pasar raya besar milik syarikat asing dengan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang kini menghadapi masalah memasarkan barangan mereka di pasar raya besar.

Menurutnya, setakat ini rata-rata pasar raya besar hanya memasarkan lapan peratus produk IKS berbanding 30 peratus seperti dihasratkan kerajaan.

Beliau menambah, antara alasan pihak pasar raya besar untuk tidak memasarkan barangan IKS ialah kurang kualiti, masalah pembungkusan serta tidak yakin dengan konsistensi bekalan.

"Di pihak IKS pula, mereka mempertikaikan dakwaan itu kerana produk mereka menembusi pasaran luar sekali gus membuktikan ketinggian kualiti barangan tersebut.

"Kementerian mengambil jalan tengah untuk tidak berpihak kepada sesiapa. Tunggulah sehingga pertemuan itu dan diharap semua isu berbangkit dapat diselesaikan," katanya.

Tiada ulasan: