Isnin, 20 Julai 2009

Tan Sri Khalid Ada Cara Kurangkan Kos Sewa Beli Bangunan PBTM

TV SELANGOR


Kos sewa beli bangunan berharga 1.2 juta ringgit untuk Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Selangor boleh dikurangkan, kata Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, kerajaan negeri sedia membantu persatuan itu mengurangkan kos terbabit melalui pengurangan cukai tanah iaitu hanya seringgit setahun.

Beliau berkata, ia sebagai membalas jasa bekas-bekas tentera yang telah berjuang mempertahankan keselamatan Negara daripada sebarang ancaman musuh.

Tan Sri Khalid berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBTM Selangor ke-57 di Intekma Resort Shah Alam, pagi tadi.

Bangunan rumah Kedai 3 tingkat di Seksyen 7 Shah Alam yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), akan digunakan oleh persatuan itu menjalankan pelbagai kegiatan untuk kira-kira 15,000 ahlinya.

Menurutnya, kerajaan negeri telah menyediakan beberapa peruntukkan kebajikan bagi membantu dan memberi kerjasama kepada persatuan seperti ini.

Hadir sama pada majlis ini, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Meru, Dr Rani Osman dan Yang Dipertua PBTM, Mohd Din Hosnin.

Menjawab soalan pemberita mengenai hasrat Ketua Komunis Malaya, Chin Peng yang ingin kembali bermaustautin di Malaysia, Tan Sri Khalid menyerahkan hak sepenuhnya kepada Kemeterian Dalam Negeri untuk membuat keputusan.

Pada majlis ini, Tan Sri Khalid turut menyampaikan pingat penghargaan serta sumbangan kepada ahli-ahli PBTM sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka untuk Negara.

Sumbangan turut diberikan kepada anak-anak tentera yang mencapai keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, tahun lalu.

Tiada ulasan: