Isnin, 27 Julai 2009

Tambah jawatan Wanita Umno

Oleh Sazarina Shahrim


KUALA LUMPUR: Wanita Umno mahu pindaan perlembagaan parti yang akan dibuat nanti memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus tempat kepada wanita sebagai pembuat keputusan pada semua peringkat cawangan, bahagian, negeri dan nasional.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata permintaan itu munasabah berdasarkan jumlah ahli wanita Umno yang kini mencecah 1.3 juta, merangkumi hampir separuh daripada jumlah keseluruhan ahli parti.

“Sudah tiba masanya usaha Wanita diiktiraf oleh pemimpin parti. Trend di seluruh dunia juga menunjukkan kerajaan dan parti politik yang mengetepikan isu wanita, tidak akan mendapat kejayaan.

“Kita akan mendapatkan semua fakta mengenai perkara ini sebelum menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbangkan. Saya juga meminta seluruh ahli Umno menyokong sepenuhnya usaha ini, jika bukan kita yang sokong, siapa lagi yang mahu menyokong,” katanya pada perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Kepong di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Bendahari Umno yang juga Menteri Kewangan 11, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Turut hadir ialah Ketua Umno Bahagian Kepong, Datuk Rizuan Abd Hamid.

Shahrizat berkata, satu perbincangan dan forum akan diadakan selepas selesainya mesyuarat bahagian seluruh negara bagi membincangkan perkara itu dan akan disyorkan kepada pucuk pimpinan parti.

Beliau berkata, Wanita Umno akan turut merangka Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi pergerakan itu dan diikuti KPI untuk Wanita Barisan Nasional tidak lama lagi.

“Kita akan membincangkan KPI ini secara terperinci untuk menentukan sasaran kita seperti penambahan keahlian dan sebagainya,” katanya.

Katanya lagi, Wanita Umno juga akan mempertingkatkan program ‘outreach’ di cawangan, bahagian dan negeri bagi memperkukuhkan lagi pergerakan itu.

“Wanita Umno akan menumpukan tiga isu ini sehingga hujung tahun bagi memastikan kepentingan wanita terus dipelihara dan relevan,” katanya.

Tiada ulasan: