Jumaat, 31 Julai 2009

Suruhanjaya Diraja Perlu Telus, Jujur Dan Penuh Integriti

TV SELANGOR


Penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian misteri bekas setiausaha politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock perlu dilakukan dengan telus, jujur dan penuh integriti.

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berkata, penubuhan Panel Suruhanjaya Diraja ini perlu dibahas dan diangkat melalui sidang Parlimen Malaysia dan diperkenan oleh Yang Di Pertuan Agong.

Ia bagi menjamin ketelusan dan integriti Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan.

“Suruhanjaya Siasatan Diraja yang bukan ahli panelnya dilantik, dan dipilih dan dicadang oleh Perdana Menteri untuk di perkenankan oleh Yang Dipertuan Agung, sebab Najib adalah orang yang tidak berintegriti yang tidak diyakini untuk memilih mana-mana orang untuk menganggotai panel suruhanjaya. Bagi saya panel suruhanjaya perlu diperbahas dan diangkat oleh Parlimen Malaysia untuk dicadangkan bagi mendapat perkenan dari Duli Tuanku yang dipertuan Agung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah perdana bertajuk “PPSMI, SPRM…dan Apa Lagi Selepas Ini,” di Dewan Seksyen 11, Shah Alam, malam tadi.

Katanya, penubuhan inkues di Mahkamah Majistret Shah Alam untuk menyiasat punca kematian Teoh, merupakan satu pembaziran dari segi masa dan wang ringgit kerana ia boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Diraja.

Mahfuz berkata, kerajaan Barisan Nasional takut untuk memberi kuasa sepenuhnya kepada Suruhanjaya untuk membuat siasatan secara telus dan penubuhan Inkues diragui akan menjadi satu lagi agenda kerajaan yang dirancang.

“Kenapa tidak satukan, kenapa membuang masa,dan perbelanjaan yang besar, apa yang ingin disembunyikan oleh kerajaan atau ada skrip yang telah ditentukan untuk pastikan bahawa inkues itu memenuhi skrip yang telah diatur oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya

Mahfuz berkata, tindakan ini jelas memperlihatkan kebimbangan di kalangan pemimpin BN seperti yang berlaku pada siasatan kes kematian misteri Norita di mana DNA yang dijumpai, tidak boleh dikenalpasti.

Tiada ulasan: