Sabtu, 4 Julai 2009

Sultan Selangor nasihat Mais terima pindaan

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bersikap terbuka mengenai cadangan pindaan tiga akta berkaitan hal-ehwal Islam yang ditangguh Majlis Raja-Raja untuk dikaji Majlis Agama Islam Negeri, baru-baru ini.

Tiga akta itu ialah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

Setiausaha Mais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata baginda mahu Mais dan pihak berkaitan meneliti cadangan pindaan itu dan menerimanya jika ia baik untuk orang Islam dan adil bagi semua.

Katanya, nasihat itu disampaikan Sultan Selangor ketika beliau dititah menghadap baginda 25 Jun lalu.

“Dalam perjumpaan itu, baginda menitahkan cadangan hendaklah diterima asalkan tidak bertentangan hukum syarak dan selagi tidak mengurangkan kuasa Raja-Raja selaku Ketua Agama Islam di negeri.

“Baginda turut menitahkan Pengerusi Mais memanggil satu mesyuarat untuk membincangkan perkara ini dan pihak Jabatan Peguam Negara turut hadir memberi taklimat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, semalam.

Hadir sama dalam pertemuan dengan baginda ialah Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa; Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datin Paduka Zauyah T Loth Khan.

Katanya, segala maklum balas Mais akan dipersembah kepada Sultan Selangor untuk dibawa semula ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Mohammed Khusrin berkata, Mais menghargai keputusan bijak Majlis Raja-Raja yang memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri diperoleh berhubung isu itu.

Sehubungan itu, katanya, segala maklum balas Mais akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor untuk dibawa semula ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Tiada ulasan: