Sabtu, 25 Julai 2009

Suhakam adakan inkuiri 5 peguam ditahan polis

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan menjalankan inkuiri awam pertengahan bulan depan berhubung insiden penahanan lima peguam - anggota Majlis Peguam di sini 7 Mei lalu yang didakwa menyertai perhimpunan haram.

Inkuiri ditetapkan dari 14 hingga 16 Ogos.

Siasatan akan diadakan dari pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang di Bilik Inkuiri Suhakam di sini.

Inkuiri tersebut akan dikendalikan oleh panel tiga pesuruhjaya yang terdiri daripada Datuk Muhammad Shafee Abdullah selaku Pengerusi, Datuk Dr. Michael Yeoh dan Datuk Dr. Denison Jayasooria.

Dalam kenyataan dikeluarkan di sini, Shafee berkata, terma rujukan inkuiri itu adalah bagi menentukan sama ada pengangkapan dan penahanan mereka menyebabkan penafian mendapatkan wakil peguam dan melanggar Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28 Kanun Tatacara Jenayah, sekali gus mencabuli hak asasi manusia.

Selain itu, kata beliau, inkuiri itu juga akan menentukan sama ada terdapat keperluan menangkap dan menahan peguam-peguam berkenaan di bawah Seksyen 27 Akta Polis.

Katanya, ia akan menentukan jika peruntukan hak asasi manusia telah dilanggari, siapa dan agensi yang bertanggungjawab, bagaimana kejadian itu boleh berlaku, arahan dan tatacara atau tindakan yang menyumbang kepada keadaan itu dan pendekatan-pendekatan yang boleh disyor untuk diambil bagi mengelak pelanggaran sedemikian daripada berlaku pada masa depan.

Menurut beliau, inkuiri ini terbuka kepada anggota awam dan media manakala mereka yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Suhakam menerusi talian 03-26125628, 03-26125623 atau 03-26125642 manakala nombor faks ialah 03-26125620 atau 03-26125694 atau emel: humanrights@suhakam.org.my.

Lima peguam yang ditahan di depan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini 7 Mei ialah Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman, Ravinder Singh Dhalliwal dan Syuhaini Safwan.

Mereka merupakan anggota pusat bantuan guaman Majlis Peguam dan ditahan dalam perhimpunan sekumpulan aktivis membantah penangkapan Wong Chin Huat, seorang jurucakap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), yang menganjurkan orang ramai memprotes persidangan itu dengan berpakaian hitam.

Wong ditahan selepas melancarkan kempen "1Black Malaysia" dan ditahan reman selama tiga hari di balai polis tersebut.

Tiada ulasan: