Rabu, 29 Julai 2009

Stesen Janakuasa Elektrik TNB Kapar Terbakar

TV SELANGOR


Sebahagian bangunan stesen janakuasa elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang terbakar kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Kebakaran di stesen janakuasa ini dipercayai bermula dari tempat penyimpanan arang batu, sebelum merebak ke beberapa bahagian lain.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau gangguan bekalan elektrik dilaporkan. Ketika kejadian, kakitangan belum memulakan tugas.

Ketua Balai Bomba Shah Alam, Ismail Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.10 pagi dan seramai 118 anggota, termasuk pegawai dan 8 jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

"Tiada apa-apa masalah pasal kita dapat kawal kebakaran pada pukul 9.30 pagi.Kita terima panggilan 7.10 pagi, jentera pertama sampai 7.34 pagi",katanya.

Ismail berkata, setakat ini jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Kapar Energy Ventures, Sohaimi Subahir berkata, setakat ini pihaknya belum dapat mengenalpasti taksiran kerosakan yang berlaku kerana belum dibenarkan masuk ke kawasan kejadian.

Bagaimanapun katanya, sistem masih lagi terkawal.

“Sebab-sebab kebakaran ini masih lagi kami kaji. Kita sedang mengambil langkah-langkah tertentu mengenalpasti apakah punca kebakaran dan juga mencari langkah-langkah yang perlu untuk mengelak kebakaran berulang kembali”

“Di pihak TNB, kita ingin memaklumkan bahawa kebakaran ini tidak akan menyebabkan sebarang ketidakupayaan TNB untuk membekalkan elektrik kepada pelanggan.Kita punya sistem adalah baik dan pembekalan adalah mencukupi seperti biasa”katanya.

1 ulasan:

Unknown berkata...

boleh saya tahu apakah punca utama kejadian ni?