Isnin, 27 Julai 2009

SPRM tidak takut disiasat

UTUSAN ONLINE


KUALA KANGSAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia disiasat berhubung kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai kesediaan itu oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan sebelum mesyuarat Kabinet minggu lepas.

''Pihak SPRM sudah bersedia menghadapi perkara ini bila-bila masa sahaja. Ini bermakna mereka tidak takut untuk disoal siasat oleh sesiapa sahaja," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan Veteran UMNO Bahagian Padang Rengas di sini hari ini.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan cuba membela SPRM berhubung kes kematian Beng Hock.

Mohamed Nazri berkata, siasatan yang dilakukan oleh SPRM adalah berpandukan kepada aduan yang diterima tidak kira sama ada ia melibatkan ahli politik atau orang biasa.

''SPRM membuat siasatan setelah menerima aduan berlakunya rasuah, bukannya untuk mencederakan sesiapa," ujarnya.

Beliau mengingatkan DAP supaya tidak mengaitkan SPRM dengan tuduhan tertentu sebaliknya menunggu siasatan penuh dijalankan terhadap badan antirasuah itu.

''Kalau mengikut logik, mahukah SPRM mencederakan Beng Hock kerana mendiang bukan seorang yang dituduh, tetapi sebagai saksi," ujarnya.

Mohamed Nazri turut menyelar sikap pemimpin DAP yang cuba menimbulkan sentimen perkauman dengan mengatakan SPRM hanya menyiasat kes rasuah membabitkan orang Cina.

''Sebenarnya berapa ramai pemimpin UMNO termasuk menteri Melayu pernah disiasat oleh SPRM termasuk yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

''Mungkin secara kebetulan ramai pemimpin DAP disiasat sekarang terutamanya di Selangor, tetapi jangan dimanipulasikan bagi kepentingan parti," ujarnya.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju mewujudkan suruhanjaya diraja dengan terma-terma khusus untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang digunakan oleh SPRM.

Tiada ulasan: