Sabtu, 25 Julai 2009

SPRM enggan ulas

Oleh THOMAS CHONG


PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil sikap membisu sama ada ia akan menyiasat kandungan sebuah laman blog yang mendakwa pemimpin DAP terlibat dalam rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan Timbalannya, Datuk Abu Kassim Mohamed enggan mengulas ketika dihubungi Utusan Malaysia berhubung perkara itu hari ini.

Ahmad Said berkata, beliau tidak mahu mengulas perkara itu kerana belum meneliti kandungan dalam blog http://t4tbh.blogspot.com yang cuba mengaitkan kematian setiausaha politik kepada seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock dengan penyelewengan di kalangan pemimpin DAP.

''Saya tidak tahu mengenai perkara ini, anda (pemberita) boleh merujuk kepada Datuk Shukri Abdull (Pengarah Siasatan SPRM) untuk mendapatkan maklumat mengenai proses siasatan yang dijalankan," ujarnya.

Abu Kassim juga mengambil pendekatan serupa ketika ditanya sama ada SPRM akan menyiasat kandungan blog itu.

''Saya tidak ingin mengulas perkara ini, saya belum meneliti kandungan dalam blog itu," katanya.

Sebuah blog berbahasa Inggeris bertajuk Kebenaran Untuk Teoh Beng Hock mendakwa setiausaha politik itu menyimpan bahan bukti mengenai penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin DAP di Selangor.

Penulis blog tersebut turut memuatkan beberapa dokumen yang didakwanya sebagai bukti kepada penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin berkenaan.

Beng Hock yang menjadi saksi dalam siasatan SPRM terhadap beberapa pemimpin Selangor ditemui mati di koridor luar Tingkat Lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai lalu.

Sementara itu, Mohd. Shukri gagal dihubungi untuk mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu.

Tiada ulasan: