Sabtu, 11 Julai 2009

SPR perlu pastikan pengundi luar pulang - Presiden PAS

Mohd Nor Yahya


KUALA KRAI - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan pengundi Dun Manek Urai yang tinggal di luar Kelantan pulang mengundi pada Selasa ini.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, SPR perlu menjalankan kempen secara agresif kepada pengundi luar supaya pulang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Bercakap pada sidang media di Markas Induk PAS hari ni berkata, Umno/BN terlalu rakus dengan menggunakan jentera kerajaan bagi menjayakan kempen mereka.

"Sedangkan PAS hanyalah bergantung kepada jentera parti dan di setiap pilihan raya kecil Umno/BN tidak berani bergantung kepada jentera parti mereka yang semakin rapuh.

"Pemilihan hari bekerja sebagai hari mengundi di Manek Urai ada kaitan dengan peranan Umno dan SPR. Sepatutnya mereka menghidupkan sistem demokrasi di negara ini dengan mewajibkan setiap pengundi keluar mengundi," katanya.

Ustaz Abdul Hadi berharap SPR menggunakan peruntukan dalam undang-undang bagi membolehkan majikan memberi cuti bergaji kepada pekerja yang akan pulang mengundi.

Ditanya kedatangan Timbalan Presiden PAS, beliau berkata, sebelum ini Ustaz Nasharuddin Mat Isa menghadapi masalah kesihatan dan kini masih berada dalam pengawasan doktor.

Sementara itu Nasharuddin memberitahu ketidakhadirannya pada kempen di Manek Urai sebelum ini kerana masalah kesihatan dan temujanji dengan doktor.

"Tuan-tuan boleh membuat rujukan dengan doktor di hospital Serdang tentang masalah kesihatan yang berkaitan dengan usus saya," ujar beliau. - mj _

Tiada ulasan: