Rabu, 15 Julai 2009

SPR kaji peraturan elak provokasi

BERITA HARIAN


KUALA KRAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia mengkaji semula peraturannya bagi mengelakkan kejadian provokasi ketika proses pembuangan undi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai sehingga menyebabkan orang awam cedera daripada berulang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata peraturan yang melarang semua parti mengadakan sebarang kempen pada hari mengundi sepatutnya dipatuhi semua pihak bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Sebelum pilihan raya kecil ini, peraturan membabitkan larangan itu sudah dibincang dengan semua wakil parti dan mereka berjanji untuk tidak mengadakan kempen, merayu dan meraih undi pada hari mengundi.

“Jadi, kita berpegang kepada persetujuan yang dicapai ketika perbincangan itu. Namun hakikatnya ia tetap berlaku,” katanya ketika mengulas kejadian membaling objek yang menyebabkan tiga petugas BN dan seorang petugas Pas cedera, semalam.

Kejadian itu berlaku di luar tempat mengundi di Sekolah Kebangsaan Peria bermula provakasi yang dibuat oleh petugas parti pembangkang.

Keadaan itu menjadi tidak terkawal apabila penyokong Pas dikatakan mula membaling botol air dan objek keras terhadap penyokong BN.

Tiada ulasan: