Khamis, 16 Julai 2009

Skandal PKFZ: Tee Kiat dakwa terima ugutan bunuh...

MALAYSIA KINI


Presiden MCA, Datuk Ong Tee Kiat mendakwa beliau telah menerima ugutan bunuh bagi menghalangnya daripada mendedahkan laporan mengenai skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Katanya, ugutan tersebut dibuat oleh kongsi gelap yang didakwanya diupah oleh pihak-pihak yang terlibat dalam skandal tersebut.

Ong turut mendedahkan bahawa kumpulan yang cuba menghalangnya daripada mendedahkan laporan tersebut, termasuk kuasa politik dan kuasa perniagaan dari pihak-pihak yang terlibat dalam skandal tersebut, termasuk orang dalam parti pemerintah.

Mesej tersebut berbunyi: "Kalau anda hilang di dunia suatu hari nanti, sepatutnya anda tahu yang berlaku".

Ong menegaskan demikian dalam wawancara eksklusif tiga muka surat dengan akhbar bahasa Cina, Sin Chew Daily.

Presiden MCA itu mendakwa kuasa tersebut juga menyusup masuk ke dalam politik dalaman MCA.

Menurutnya, mereka ini cuba mengguna wang untuk membeli perwakilan, penulis blog dan ahli akar umbi untuk menjatuhkannya dalam pemilihan parti yang akan datang.

Katanya, ada juga orang yang menyebarkan khabar angin kononnya pendedahan laporan skandal PKFZ itu adalah tindakannya sendiri tanpa mendapat persetujuan BN dan kabinet serta tidak boleh diterima oleh kerajaan BN.

Kekalahan besar BN

Bagaimanapun, Ong menegaskan bahawa tindakanya dibuatnya mengikut semua prosedur.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya tindakannya itu salah dan mengakibatkan negara terjerumus dalam kancah huruhara dan memalukan BN, dan kalau ada orang yang lebih pandai boleh membantu kerajaan, beliau sedia berundur dan meletakkan jawatan.

Ong yang juga menteri pengangkutan berkata, beliau kini dikepung dari setiap sudut.

Menjelaskan tindakannya mengumumkan laporan PKFZ tersebut, Ong berkata, ia kerana projek itu membabitkan wang yang terlalu banyak.

Beliau tidak mahu hutang itu "ditanggung oleh anak cucu pada masa depan".

Ong juga mendakwa bahawa isu PKFZ telah menjadi punca 'kekalahan besar' BN dan MCA dalam pilihanraya umum tahun lalu.

"Terus mengelak persoalan ini juga tidak mungkin dapat melenyapkannya dari ingatan rakyat, jadi mengapa tidak teruskan siasatan terperinci demi mencari kebenarannya," katanya.

Ditanya mengapa beliau tidak membuat laporan polis, Ong berkata: "Saya tidak sama seperti orang lain, yang suka buat laporan polis dan disiarkan dalam surat khabar".

Tiada ulasan: