Jumaat, 3 Julai 2009

Rundingan bersama Splash, Syabas diteruskan

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Menteri Besar, Than Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, rundingan bersama dua syarikat konsesi iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Syarikat Bekalan Air Sdn Bhd (Syabas) masih diteruskan dalam usaha menyelesaikan isu penstrukturan semula perkhidmatan industri air negeri ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri masih optimis rundingan berkenaan mampu membuahkan hasil positif sekali gus mencari titik penamat kepada penyelesaiannya.

“Kerajaan negeri akan menyelesaikan isu-isu sub-kontrak yang melibatkan Splash, manakala Syabas menantikan keputusan daripada Kerajaan Persekutuan berhubung tawaran yang dibuat oleh kerajaan negeri“

“Bagaimanapun, kerajaan negeri berharap dapat mencapai penyelesaian dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui jawatankuasanya akan membincangkan langkah seterusnya dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

“Walaupun terdapat banyak isu teknikal yang perlu diatasi, kerajaan negeri akan tetap berpandangan positif terhadap keputusannya,” katanya.

Sementara itu, satu daripada empat syarikat konsesi air di Selangor menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran kerajaan negeri berhubung pembelian aset miliknya,

Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri pada dasarnya berpuas hati dengan perkembangan terkini proses perundingan pembelian semua aset-aset air milik empat konsesi air.

“Hasil daripada rundi-ngan yang dijalankan, Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass) bersetuju menerima tawaran kerajaan negeri sebanyak RM946 juta.

“Kerajaan negeri berterima kasih kepada Abass di atas keputusan ini kerana ia membolehkan kerajaan negeri memberikan perkhidmatan air yang lebih baik dan murah kepada rakyat Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, setakat ini, apa yang pasti, Puncak Niaga Holding Berhad sahaja yang menolak tawaran daripada kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, ini tidak akan melemahkan kesungguhan kerajaan negeri dalam usaha penstrukturan semula industri air negeri ini,” katanya.

Tiada ulasan: