Khamis, 23 Julai 2009

Siasatan polis berhubung kematian Teoh dijangka siap tidak lama lagi

BERNAMA


KUALA SELANGOR: Siasatan polis berhubung kematian Teoh Beng Hock dijangka siap sebelum inkues bagi menentukan punca kematian Setiausaha Politik kepada seorang exco Selangor itu bermula minggu depan.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata siasatan polis berhubung kes itu kini tinggal 10 atau 15 peratus untuk dibereskan, dan ia dijangka siap sepenuhnya sebelum inkues bermula minggu depan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menutup Majlis Tilawah AlQuran peringkat Kontinjen Selangor di sini lewat malam tadi.

Kabinet semalam memutuskan supaya satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret dijalankan minggu depan bagi menentukan punca kematian Teoh, 30, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah.

Mendiang ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam Shah Alam Khamis lalu selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Khalid berkata dua ahli patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat Teoh dan melawat tempat kejadian di Plaza Masalam semalam, sudah "membuat satu kesimpulan" berhubung kes itu.

Beliau berkata polis tidak akan membuat apaapa saranan kepada SPRM dalam soal berkaitan cara soalsiasat yang diguna pakai oleh Suruhanjaya itu.

"Kami akan serahkan kepada suruhanjaya diraja untuk meneliti cara soal siasat yang digunakan oleh SPRM. Suruhanjaya itu mempunyai termaterma rujukan yang jelas," katanya.

Khalid juga berkata telefon bimbit milik Teoh masih berada di tangan polis.

"Kami hendak jejaki panggilan yang dibuat oleh Teoh sebelum dia memberi keterangan kepada SPRM, dan perkhidmatan pesanan ringkas yang diterimanya sebelum dia ditemui mati," katanya dan menambah bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada tempat letak kereta Plaza Masalam dan kawasan lif didapati konsisten dengan kenyataan yang diberikan saksisaksi sehingga ini.

Tiada ulasan: