Rabu, 15 Julai 2009

Sembilan pelajar berkhemah di hutan diserang histeria

UTUSAN ONLINE


ARAU - Seramai sembilan pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin, Jejawi di sini diserang histeria ketika menyertai perkhemahan di Hutan Lipur Bukit Ayer, hari ini.

Pengarah Pendidikan Perlis, Mansor Lat berkata, kejadian berlaku petang semalam dan berlarutan sehingga pagi ini membabitkan sembilan daripada 32 orang pelajar sekolah tersebut.

Menurutnya, kesemua pelajar itu menyertai latihan perkhemahan sebagai persedian untuk menghadapi pertandingan perkhemahan Jabatan Pertahanan Awam (JPA) peringkat kebangsaan di Melaka bulan depan.

Katanya, pelajar yang diserang histeria kemudian dibawa pulang ke sekolah untuk dipulihkan secara tradisional dengan bantuan seorang orang awam.

"Pihak sekolah mengambil langkah segera dengan membawa pulang sembilan pelajar itu untuk dipulihkan dengan cara tradisional.

"Keadaan mereka kini beransur pulih. Kejadian ini tidak terlalu serius kerana mereka yang terlibat bersemangat untuk meneruskan perkhemahan yang diadakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa menziarah beberapa pelajar yang diserang histeria di sekolah tersebut.

Mansor memberitahu, perkhemahan itu diadakan selama tiga hari dua malam bermula Sabtu lalu.

"Keadaan mereka yang masih meneruskan latihan perkhemahan di Bukit Ayer juga dipantau agar kejadian itu tidak berulang.

"Ini merupakan kejadian pertama berlaku dan saya berharap dugaan ini tidak mematahkan semangat mereka yang terlibat untuk bertanding di peringkat kebangsaan," ujarnya.

Sementara itu, seorang lelaki yang menawarkan diri untuk membantu pelajar yang diserang histeria, Nordin Jusoh, 50-an, berkata, dia difahamkan histeria berlaku apabila terdapat 'benda ghaib' yang mengikut pelajar tersebut dari Bukit Ayer.

"Beberapa pelajar memberitahu mereka ternampak 'benda' itu di Bukit Ayer ketika berkhemah," katanya.

Tiada ulasan: