Selasa, 7 Julai 2009

Selesaikan sendiri – PM

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD


KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Pulau Pinang perlu menyelesaikan sendiri masalah pengambilalihan tanah di Kampung Buah Pala tanpa perlu campur tangan orang lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hal ehwal tanah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat tidak boleh mencampuri urusan itu.

“Mereka perlu menyelesaikan masalah itu sendiri tanpa campur tangan orang lain dan sekarang isu tersebut dilihat sukar untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Menara Kumpulan Naza setinggi 50 tingkat di sini hari ini.

Najib diminta mengulas permintaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berhasrat menulis surat kepadanya bagi meminta bantuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih tanah di Kampung Buah Pala.

Ini berikutan kerajaan Pulau Pinang mengakui tidak mampu untuk mengambil alih tanah di kampung itu daripada sebuah koperasi dan pemaju untuk membolehkan 23 keluarga terus tinggal di situ kerana kosnya terlalu tinggi.

Isu pengambilalihan tanah itu timbul selepas pemaju projek, NusMetro Venture (P) Sdn. Bhd. (NusMetro) menghadapi kerugian hampir RM6 juta sejak setahun lalu apabila terpaksa membayar balik jumlah penuh kepada pembeli yang membatalkan pembelian mereka ekoran masalah tersebut.

Tiada ulasan: