Rabu, 8 Julai 2009

Selangor perlu jadi contoh amal prinsip demokrasi

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Adun Pakatan Rakyat dan BN diingatkan supaya menjadikan Selangor sebagai negeri pertama yang mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi dengan menunjukkan contoh bagaimana demokrasi itu dilaksanakan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin dan percaya Pakatan Rakyat berpegang pada kesemarataan, keadilan sosial dan kewarganegaraan serta tidak tertakluk kepada kaum dan kepentingan individu.

Berhubung amalan demokrasi itu beliau telah memulakan asas demokrasi sosial dengan cba mencari situasi saksama bagi semua pembayar cukai dalam masyarakat iaitu kerajaan, rakyat dan prasarana ekonomi.

"Kita sekarang berusaha mencari pasaran sosial yang bercirikan harta persendirian, persaingan, kebebasan bekerja, modal dan perkhidmatan," katanya dalam ucapan khas sempena sambutan 50 tahun Dewan Negeri.

Tambah beliau, ciri tambahan lain usaha bekerja ke arah sistem perkhidmatan keselamatan sosial yang lebih tuntas berasaskan prinsip- prinsip keadilan pencapaian dan penghargaan sosial.

Di Selangor katanya, kerajaan Pakatan Rakyat berazam dan berusaha untuk mengumpulkan segala sumber bagi pembangunan dan membahagikan keuntungan itu secara adil kepada seluruh rakyat.

"Saya berharap semua wakil rakyat sanggup turut dan bekerja keras bagi manfaat rakyat," katanya.

Sebelum ini, beliau telah mengumumkan lima projek besar kerajaan negeri menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi antaranya pembangunan semula kawasan bandar; pengambilan semula aset perkhidmatan air; pemulihan sungai Klang; penaikan taraf pengangkutan awam; pemulihan projek terbiar dan projek pembangunan padi.

Selepas mengambil alih pentabdiran Selangor katanya, kerajaan Pakatan Rakyat telah memulakan sembilan program dalam agenda `Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)' meliputi bantuan kewangan, latihan kemahiran dan keusahawan kepada rakyat yang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Rakyat mewarisi satu sistem yang sudah tiris sebahagiannya tetapi kerajaan masih mampu memulihkan dan jadikan landasan pemerintahan demi kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, beliau menyentuh kes politik di Perak yang nyata pemerintahan bertentangan dengan prinsip demokrasi iaitu berasaskan kehendak rakyat.

Katanya, beberapa kejadian di Dewan Negeri Perak dan disokong dengan perundangan yang tidak jelas maka pemerintahan yang selama ini dianggap demokrasi yakni pemerintahan oleh rakyat telah gagal diteruskan di Perak.

"Struktur politik di Perak sudah hancur, keadaan negeri itu menemui jalan buntu kerana ia menggambarkan bentuk sistem demokrasi yang dilaksanakan dalam Malaysia./SH _

Tiada ulasan: