Sabtu, 11 Julai 2009

Sekolah Antarabangsa Alice Smith ditutup

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Sekolah Antarabangsa Alice Smith di Seri Kembangan, Selangor ditutup mulai hari ini berikutan dua kes import selesema babi atau influenza A (H1N1) dikesan di sekolah berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kes tersebut melibatkan dua pelajar yang menyertai rombongan ke New York, Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, jelasnya, sebuah tadika di Miri, Sarawak turut mengambil langkah serupa selepas seorang pelajarnya menghidap penyakit sama.

"Pihak pengurusan Sekolah Antarabangsa Alice Smith telah mengambil keputusan untuk menutup sekolah tersebut secara sukarela bermula hari ini.

"Bagi satu kes tempatan melibatkan pelajar Tadika Gospel Chapel Kerokop di Miri, pihak pengurusan tadika tersebut juga telah menutup operasi secara sukarela," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Sementara itu, dua lagi tambahan kes dikesan di sebuah syarikat swasta di Cyberjaya menjadikan jumlah kes keseluruhan di syarikat berkenaan sebanyak 14.

Penemuan itu mengukuhkan petunjuk awal bahawa terdapat penularan H1N1 dalam komuniti.

Menurut Mohd. Ismail, sebanyak 53 kes baru H1N1 dilaporkan di negara ini membabitkan 41 kes import dan 12 kes jangkitan tempatan.

"Sebanyak 53 kes baru yang dilaporkan melibatkan 46 rakyat tempatan dan tujuh warga asing dari Indonesia (5) serta masing-masing satu kes dari China dan Britain," ujarnya.

Katanya, ini menjadikan jumlah pesakit H1N1 di negara ini seramai 627 orang, iaitu 456 kes import dan 171 kes jangkitan tempatan sementara tiada kematian dilaporkan.

Bagaimanapun, jelas beliau, daripada 627 pesakit itu, seramai 495 orang atau 78.9 peratus telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital manakala selebihnya, iaitu 132 orang masih dirawat.

Merujuk kepada situasi global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa jumlah terkumpul kes H1N1 adalah sebanyak 103,930 kes dengan 459 kematian dari 140 negara, iaitu pertambahan 5,057 kes.

Lima negara yang melaporkan pertambahan kes tertinggi ialah Chile (1,759), Mexico (1,009), Thailand (642), Brazil (240) dan Kanada (183).

Tiada ulasan: