Rabu, 8 Julai 2009

SBaja tingkat keluaran padi

UM temui bahan penggalak

Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman


KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) berjaya menghasilkan baja dikenali SBaja yang mampu meningkatkan keluaran padi negara antara 20 hingga 38 peratus semusim dan mengurangkan kebergantungan kepada beras import.

Penemuan 'bahan penggalak' saintifik menggunakan formula menerusi teknik semburan dipercayai mampu menghasilkan padi yang lebih berkualiti selain menambah hasil pendapatan petani secara berganda.

Baja gabungan nutrien mikro dan makro menggunakan formula yang dihasilkan UM iaitu Hutriaol sudah diuji keberkesanannya di beberapa kawasan penanaman padi di Tanjung Karang, Selangor; Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Kedah dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Kelantan.

Ketua Penyelidikan Fakulti Sains Biologi UM), Prof Dr Baki Bakar, berkata ujian yang dijalankan di Tanjung Karang mendapati hasil padi dapat ditingkatkan daripada 6.2 tan sehektar kepada 8.9 tan sehektar, meningkat 25 hingga 38 peratus.

Petani di kawasan Mada dan Kada pula berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi antara 20 hingga 25 peratus, manakala petani di Sungai Besar, Selangor sehingga 10 tan sehektar manakala di Sekinchan, juga Selangor lebih 12 tan sehektar.

"Dengan penggunaan SBaja, petani kini mampu meraih pendapatan antara RM1,200 ke RM1,500 sehektar setiap musim," katanya selepas memberi penerangan kepada media mengenai penemuan baru itu di sini, semalam.

SBaja antara lain mampu meningkatkan kandungan klorofil dan fotosintesis serta menggalakkan pertumbuhan akar yang akan meningkatkan pengambilan nutrien daripada tanah selain mengurangkan kebergantungan terhadap racun serangga sekali gus menghasilkan tanaman yang selamat.

Baki berkata, penggunaan SBaja ke atas 100,000 hektar sawah di negara ini dapat menghasilkan lebih 200,000 tan padi setahun yang bernilai sekurang-kurangnya RM200 hingga RM300 juta setahun, manakala penggunaannya ke atas 600,000 hektar sawah boleh mendapat lebih 1.2 juta tan setahun dengan nilai sehingga RM1.8 bilion setahun.

"Dengan baja baru ini juga pengeluaran beras negara mampu mencapai 86 peratus Tahap Sara Diri (SSL) menjelang 2010 berbanding 73 peratus atau 2.3 juta tan sekarang. Ini akan mengurangkan penggantungan kepada beras import dan kerajaan boleh menjimatkan sehingga RM900 juta setahun," katanya.

Tiada ulasan: