Isnin, 20 Julai 2009

Said Zahari, Zaini Hassan penerima anugerah wartawan


Sultan Ahmad Shah bersama Said Zahari (duduk), Zaini Hassan (kiri) dan Akmal Abdullah (dua dari kanan) di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, semalam.

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR – Berikutan jasa besar bagi memperjuangkan kebebasan akhbar maka bekas Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari malam ini diumumkan sebagai penerima Anugerah Wartawan Cemerlang Negara 2009 anjuran Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM).

Turut diumumkan sebagai pemenang kategori Anugerah Wartawan Utama pula ialah Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Zaini Hassan dan Pengarang Bintang Popular Berita Harian, Akmal Abdullah.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat untuk menyampaikan anugerah itu dalam bentuk tengkolok, sijil, plak dan sagu hati wang tunai.

Pengerusi Panel Pemilihan Anugerah PWM, Profesor Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar yang mengumumkan keputusan itu di sebuah hotel di sini berkata, Said, 81, seorang yang tidak menghiraukan tekanan mana-mana pihak bagi memperjuangkan kebebasan akhbar di Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, sikap beliau yang kekal dengan prinsip perjuangan itu menyebabkannya dipenjara di Singapura selama 17 tahun.

‘‘Selain kebebasan akhbar, beliau juga turut memperjuangkan perpaduan rakyat dan mahukan Tanah Melayu bebas 100 peratus daripada cengkaman penjajah Inggeris,’’ katanya.

Abdul Latiff berkata, pemenang kategori Anugerah Wartawan Utama yang kedua-duanya berasal dari Kedah diiktiraf kerana memberikan sumbangan besar dalam penulisan masing-masing berbentuk politik dan hiburan.

Katanya, Zaini yang kini merupakan pensyarah sambilan Kursus Media dan Komunikasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak tahun 1997 terkenal sebagai wartawan yang menulis secara analitis berkaitan politik dan tokoh pimpinan negara.

Menurut beliau, Akmal yang sehingga kini telah memenangi 11 anugerah pula dikenali kerana banyak menulis artikel bagi meningkatkan mutu perfileman negara ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Tiada ulasan: