Ahad, 26 Julai 2009

Sahabat baik Teoh dipanggil beri keterangan semula

BERNAMA


SHAH ALAM: Woo Chuan Sing, saksi dalam siasatan kes kematian Teoh Beng Hock, dipanggil semula oleh polis untuk dirakamkan kenyataannya berhubung percanggahan dalam laporan sebuah akhbar harian berbahasa Malaysia.

Peguam Lim Lip Eng, yang mewakili Woo, berkata anak guamnya memberitahu media pada Khamis lepas bahawa kali terakhir beliau bercakap dengan Teoh ialah pada pagi 15 Julai, apabila setiausaha politik itu menerusi perbualan telefon meminta beliau supaya menjadi pengapit pada hari perkahwinannya.

"Bagaimanapun, laporan sebuah akhbar harian berbahasa Malaysia memetik Woo sebagai berkata beliau bercakap dengan Teoh pada 16 Julai, iaitu hari dia ditemui mati di Plaza Masalam," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Woo memberi semula keterangannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dekat sini semalam.

Lim berkata polis sepatutnya mendapatkan penjelasan berhubung sebarang keraguan menerusi telefon dan bukannya meminta anak guamnya datang semula memberi keterangan. "Polis tidak memanggil wartawan dari akhbar terbabit untuk memperjelaskan fakta berita itu," katanya.

Woo, sahabat karib Teoh ketika mengikuti pengajian di Universiti Kebangsaaan Malaysia, merupakan antara lapan orang lagi yang dipanggil polis untuk dirakamkan kenyataan mereka bagi membantu siasatan berhubung kematian Teoh, yang mayatnya ditemui di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, pada 16 Julai.

Mereka dipercayai antara orang terakhir yang telah menghubungi, sama ada menerusi SMS atau panggilan telefon, kepada Teoh sebelum mayatnya dijumpai kira-kira 1.30 tengah hari pada 16 Julai, beberapa jam selepas beliau disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan penyalahgunaan dana negeri Selangor.

Tiada ulasan: