Khamis, 2 Julai 2009

RTM ditegur siar sidang berpilih-pilih

BERITA HARIAN ONLINE


RADIO Televisyen Malaysia (RTM) ditegur kerana bersikap pilih kasih apabila tidak menyiarkan sepenuhnya siaran langsung persidangan Dewan Rakyat, sebaliknya hanya menyiarkan selama setengah jam secara berpilih-pilih.

Teguran itu dicetuskan Datuk Mohamad Aziz (BN-Seri Gading) yang menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan TV1 itu.

Beliau berkata, siaran langsung di TV1 hanya setengah jam tetapi dibuat secara berpilih-pilih.

"Tak seronoklah macam ni, biarlah macam yang lepas dari awal sampai 10.30 pagi. Kalau ada pergaduhan biarlah rakyat menilai. Ini pandangan saya daripada rakyat," katanya sebelum sesi perbahasan Rang Undang-Undang Bank Negara Malaysia 2009 bermula pagi semalam.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee, berkata beliau meminta RTM mengambil perhatian terhadap teguran itu.

Bagaimanapun, ketika Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) membahaskan rang undang-undang berkenaan, kekecohan berlaku apabila M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) bangun dan mendakwa RTM tidak mematuhi apa yang diputuskan dalam Dewan.

"Saya baru mendapat SMS mengatakan sebaik saja wakil Bandar Kuching berucap (membahaskan rang undang-undang), TV1 terus menyiarkan temubual. Ini gambaran yang diberi pada rakyat Malaysia, menipu... apa jadi di dewan ini. Saya arahkan semua kakitangan RTM keluar kerana mereka mengelirukan semua pihak dan menipu rakyat.

"Boleh atau tidak kita usir orang asing yang berada dalam dewan ini? Bukan tak suka tetapi mereka memutar-belitkan dan ini tak boleh dibenarkan. Boleh kita hantar orang asing ini keluar," katanya.

Ronald kemudian mengulangi kenyataan yang dibuat sebelum ini.

"Ahli Barisan Nasional (BN) turut membawa benda (isu) yang sama dan saya minta rujuk dan pihak berkaitan memberi perhatian terhadap teguran dibuat Ahli Parlimen," katanya.

Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat pembangkang, N Gobalakrishnan (DAP-Padang Serai) dan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) terus mendesak supaya mengambil tindakan sama ada RTM mematuhi keputusan Speaker atau menghentikan siaran langsung.

Tiada ulasan: