Rabu, 8 Julai 2009

RM176 juta sudah dibelanjakan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan telah membelanjakan RM176 juta atau 71 peratus daripada RM250 juta peruntukan yang diterimanya di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,071 atau 93 peratus daripada 2,228 projek di bawah pakej rangsangan tersebut telah ditawar dan dilaksanakan setakat Jun tahun ini.

Bagaimanapun menurutnya, hanya 900 daripada 2,071 projek itu yang telah siap dan dibuat pembayaran sebanyak RM68 juta sementara baki 1,171 projek lagi kini dalam proses pelaksanaan akhir.

“Kementerian telah melaksanakan hampir tiga perempat projek yang telah dirancang di bawah pakej ini dalam masa hanya kira-kira setengah tahun sahaja.

“Ini bermakna, kementerian telah mencatat satu prestasi kewangan dan perbelanjaan yang baik seterusnya akan memberi impak positif kepada warga kerja dan rakyat di negara ini,” katanya pada perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Abu Bakar Abdullah dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Kerajaan memberi suntikan dana sebanyak RM250 juta kepada Kementerian Pertahanan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama bagi tujuan melaksanakan pelbagai projek termasuk penyenggaraan kem-kem dan kuarters Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid memberitahu, kementerian setakat Jun tahun ini telah membelanjakan RM12.3 bilion atau 78 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan yang diterima di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

“Ini bermakna, kementerian juga telah mencatat prestasi kewangan dan perbelanjaan yang sangat baik dalam RMK-9 seterusnya dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya.

Mengenai arahan pembayaran kepada kontraktor dibuat dalam tempoh 14 hari, beliau berkata, kerajaan kini giat memantau agensi-agensi yang terlibat dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Tiada ulasan: