Rabu, 8 Julai 2009

RM15j bantu isteri diceraikan

Oleh SYED RIDZUWAN SYED ISMAIL


ARAU - Jabatan Kehakiman Syariah memohon dana berjumlah RM15 juta daripada Kerajaan Pusat bagi membantu golongan isteri di seluruh negara yang tidak diberi nafkah oleh bekas suami selepas bercerai.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Tan Sri Ibrahim Lembut berkata, ia untuk diagihkan kepada isteri-isteri yang dinafikan hak memandangkan selepas bercerai ada antara bekas suami yang berkemampuan tetapi tidak memberikan nafkah sepatutnya.

Katanya, dana itu juga bertujuan meringankan beban golongan isteri yang diceraikan kerana ada antara mereka yang hidup dalam serba kekurangan selepas berpisah.

"Kami dapati ada banyak laporan yang diterima daripada golongan isteri yang diceraikan tetapi tidak mendapat nafkah sepatutnya yang harus diberikan bekas suami walaupun telah diarahkan oleh mahkamah.

"Dalam hal ini kami telah memohon dana itu dua bulan lalu bagi membantu mereka melalui unit baru di bawah Jabatan Kehakiman Syariah iaitu Bahagian Sokongan Keluarga (BSK)," katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Hakim Syarie berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Mahabbah Jabatan Kehakiman Syariah bersama masyarakat peringkat negeri Perlis di Dewan Sivik di sini.

Hadir sama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Menurut Ibrahim, selepas dana itu diserahkan kepada seseorang penerima yang dikenal pasti mengikut kadar yang ditetapkan syariah, unit BSK akan mengutip semula wang tersebut daripada bekas suami.

"Dalam hal ini kami bukan mahu 'menyelamatkan' golongan lelaki tetapi memberikan keadilan kepada golongan wanita.

"Mengenai kutipan semula, BSK boleh mengambil tindakan undang-undang kepada bekas suami yang tidak membayar semula bayaran yang diberi kepada bekas isteri termasuk dipenjarakan," ujarnya.

Tiada ulasan: