Isnin, 6 Julai 2009

Ribuan ahli PAS, Umno hadir beri sokongan

MALAYSIA KINI


Pekan kecil Manek Urai pagi ini bertukar wajah apabila ribuan penyokong PAS dan Umno mengiringi calon masing-masing ke pusat penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN kawasan tersebut pagi ini.

Walaupun proses penamaan calon itu hanya bermula jam 9 pagi, tetapi penyokong kedua belah pihak sudah mula berkumpul seawal jam 7 pagi sebelum berarak ke pusat penamaan calon di SMK Sultan Yahya Petra 1.

Penyokong Umno berhimpun di ibupejabat parti itu di Kuala Krai sambil memukul gendang dan gong tradisional Kelantan mengikut rentak dikir barat, sementara menunggu ketibaan pemimpin mereka.

Pertama tiba di situ ialah pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed. Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor turut hadir untuk memantau persiapan untuk proses penamaan calon.

Pada jam 8.30 pagi, kira-kira 2,000 penyokong Umno sudah bersedia untuk mula berarak ke pusat penamaan calon.

Hadir mengiringi calon Umno - Tuan Aziz Tuan Mat, 39 - ialah Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Mohd Shafie Apdal, serta Ketua Pemuda dan Wanita Umno - Khairy Jamaluddin dan Datuk Shahrizat Abdul Jalil.

Sementara kira-kira 2,000 penyokong PAS pula mula berhimpun di persimpangan Jalan Kuala Krai pada kira-kira jam 7 pagi.

Dan ketika parti itu mengadakan sembahyang hajat di Masjid Al-Jauhar, jumlah penyokong PAS sudah bertambah kepada hampir 10,000 orang

Dengan diketuai oleh Mursyidul Am PAS yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mereka mula berarak mengiringi calon PAS - Mohd Fauzi Abdullah, 50 - ke pusat penamaan calon pada kira-kira jam 8.10 pagi.

SMK Sultan Yahya Petra 1 terletak sejauh kira-kira 1.4 km.

Tiada ulasan: