Sabtu, 18 Julai 2009

Putus Talian Jalur Lebar : Khidmat Talian Terus Selangor Terjejas

SHAKIRA BUANG(TV SELANGOR)


SHAH ALAM - Tindakan sebuah syarikat jalur lebar yang menamatkan khidmatnya di Negeri Selangor sejak Jumaat lalu, menyebabkan pelbagai perkhidmatan kerajaan negeri secara talian terus, terjejas.

Exco Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, hampir semua perkhidmatan, termasuk pembayaran cukai hasil tanah, kutipan zakat dan berbagai khidmat pihak berkuasa tempatan (PBT) turut tergendala.

Beliau menganggarkan, kerajaan negeri gagal mengutip bayaran berjuta-juta ringgit berikutan tidakan Orbenet Sdn Bhd itu, yang mendakwa kerajaan negeri Selangor tidak membayar khidmat talian mereka.

Tindakan oleh Orbenet itu juga menyebabkan siaran secara langsung persidangan Dewan Negeri Selangor yang sedang berjalan, turut tergendala seketika.

Bagaimanapun, siaran secara langsung ini dapat diteruskan menerusi laman web tvselangor.com yang mengendalikan khidmat itu sejak dewan bersidang Rabu lalu..

Menurut Rodziah, kontrak yang diberikan kepada syarikat itu pada 2003 oleh kerajaan Barisan Nasional, didapati berat sebelah dan diperbaiki oleh kerajaan pakatan rakyat selepas mengambil alih pentadbiran Selangor.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya berhak menilai semula perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat itu.

Menurut Tan Sri Khalid, perbincangan mengenai perkara itu sedang dilakukan, namun syarikat berkenaan didapati telah bertindak memutuskan semua talian mereka Jumaat lalu.

Tiada ulasan: