Ahad, 19 Julai 2009

Program latihan pemimpin Umno bulan depan

BERNAMA


SHAH ALAM: Pemimpin Umno di semua peringkat akan mengikuti program latihan dan motivasi secara berperingkat bagi menyuntik semangat baru di kalangan mereka mulai bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata program latihan itu juga untuk mengukuhkan kepemimpinan parti dan meneruskan usaha bagi memperjuangkan nasib orang Melayu dan masyarakat Malaysia.

Beliau berkata program itu akan dimulakan dengan pembabitan Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno di Institut Latihan Memperkasa Umno (ILMU), Janda Baik, Pahang.

Menurutnya program yang dipersetujui di peringkat Jawatankuasa Pengurusan dan MT Umno itu, akan diperluaskan ke seluruh negara membabitkan pemimpin Umno di peringkat bahagian dan cawangan.

"Program ini akan melibatkan semua peringkat pimpinan sebab merekalah menjadi penggerak utama yang akan membimbing ahliahli parti di peringkat cawangan dan kita mahu supaya ada imej baru yang dapat kita tonjolkan.

"Ia (modul-modul program) juga akan digandingkan dengan tindakan mesra rakyat seperti mendengar dan menyelesaikan rintihan masyarakat secara berkesan," kata Timbalan Presiden Umno kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Shah Alam di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata peserta program latihan itu antara lain akan didedahkan dengan pendekatan baru yang akan digunapakai dalam Umno supaya para anggota parti menjadi lebih arif dan matang tentang apa yang patut dilakukan di peringkat bahagian dan cawangan masing-masing.

Beliau berkata Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Jawatankuasa Latihan Program berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menyediakan modulmodul baru program tersebut untuk digunapakai oleh pemimpin Umno di semua peringkat dalam tempoh dua tahun.

"Kita sedar bahawa masyarakat menilai Umno daripada sudut apa yang berlaku setakat ini. Kita mahu supaya selepas mereka (pemimpin Umno) melalui kursus ini, program-program Umno yang bakal dilakukan di setiap peringkat akan menjurus kepada usaha bukan setakat mendekati rakyat tetapi memperjuangkan nasib orang Melayu dan masyarakat Malaysia," katanya.

Menurutnya program itu akan dilaksanakan secara berterusan di seluruh negara pada masa akan datang dalam usaha untuk menyuntik semangat baru di kalangan pemimpin Umno.

Sementara itu dalam ucapannya, Muhyiddin menggesa pemimpin Umno mengambil langkah proaktif untuk memperkukuhkan parti di samping melihat kepada kedudukan rakan-rakan komponen mereka dalam komponen Barisan Nasional (BN).

"Kalau Umno sendiri kuat tak cukup. Langkah-langkah transformasi perlu diadakan di setiap parti komponen supaya BN dapat dilihat sebagai menggerunkan dan bertenaga untuk meneruskan perjuangan," tambahnya.

Tiada ulasan: