Jumaat, 3 Julai 2009

PR desak dedah status rasuah 18 tokoh politik

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Pemuda Pakatan Rakyat (PR) semalam mendesak kerajaan mengumumkan status 18 tokoh politik yang pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti diumumkan semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, status siasatan 18 tokoh politik terbabit terus menjadi tanda tanya dan timbul persoalan adakah berlaku cubaan untuk menyembunyikan kesudahan siasatan tersebut daripada pengetahuan rakyat.

Menurutnya, beliau tidak mahu SPRM hanya mengeluarkan kenyataan bersifat retorik untuk menyedapkan hati rakyat tanpa memberi kesan positif kepada aktiviti membanteras gejala rasuah di negara ini.

“Daripada satu sudut, PR mengalu-alukan kenyataan SPRM akan mendedahkan beberapa kes besar melibatkan kes rasuah, tetapi kita tidak mahu kenyataan tersebut hanya sekadar dakwaan di bibir sahaja,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah bahawa suruhanjaya itu akan mendedahkan beberapa kes besar termasuk kes rasuah dalam masa terdekat ini.

Terdahulu sebelum ini, Datuk Seri Dr Rais Yatim ketika memegang jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri pernah mengaku wujud sekurang-kurangnya 18 kes rasuah berprofil tinggi, termasuk yang melibatkan di peringkat kabinet.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, beliau menyokong langkah SPRM mendedahkan kes rasuah membabitkan kepimpinan negara namun mengharapkan siasatan tersebut dijalankan dengan telus tanpa melibatkan kepentingan politik sesuatu pihak.

“PR sentiasa menyokong kepada aktiviti membasmi aktiviti rasuah, sebab itu kita sentiasa membuat laporan berkaitan rasuah di kalangan pemimpin negara, tetapi tiada apa jelas tiada sebarang reaksi yang dibuat terhadap laporan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan tidak bersetuju dengan tindakan SPRM yang membuat pengumuman tanpa disertakan bukti jelas.

Tiada ulasan: